BEIJING, 11 FEB – China Humanoid Robot Ecology Conference 2025 akan berlangsung di Shanghai dari 25 hingga 26 April, menawarkan penyertaan secara fizikal dan dalam talian, menurut penganjur, lapor Xinhua.
Persidangan itu akan menampilkan 10 forum, merangkumi satu forum utama dan sembilan sub-forum yang membincangkan pelbagai aspek penting seperti pembangunan produk robot humanoid, pengembangan pasaran, strategi pelaburan dan pembiayaan, kerjasama industri-akademik-penyelidikan, teknologi bateri serta pelbagai aplikasi robotik.
Acara itu akan menghimpunkan pakar global, pemimpin akademik, eksekutif industri terkemuka dan pelabur berpengalaman bagi mengetengahkan kemajuan saintifik terkini serta teknologi termaju.
Para peserta juga berpeluang berkongsi trend industri, bertukar pandangan pasaran dan menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Sebagai antara teknologi canggih yang berkembang pesat, robot humanoid kini mengalami lonjakan kemajuan daripada simulasi asas kepada kecerdasan tinggi, dengan potensi besar dalam sektor industri dan perkhidmatan.
Bertujuan memacu pembangunan berkualiti tinggi dalam industri robot humanoid serta mempercepatkan penggunaannya dalam pelbagai sektor, persidangan itu dijangka menyerlahkan pertumbuhan pesat dan potensi teknologi robotik yang menjanjikan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-2B-XINHUA_12022025.jpg)