DHAKA, 5 OGOS – Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina meletak jawatan, hari ini, menamatkan 15 tahun perkhidmatannya sebagai perdana menteri ketika beribu-ribu penunjuk perasaan menentang perintah berkurung tentera dan menyerbu kediaman rasminya.
Tidak lama selepas media tempatan menunjukkan pemimpin tersebut menaiki helikopter tentera bersama adik perempuannya, ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman mengumumkan rancangan untuk mendapatkan bimbingan presiden untuk membentuk kerajaan sementara.
Beliau berjanji bahawa tentera akan berundur, dan untuk melancarkan penyiasatan terhadap tindakan keras yang memautkan yang mencetuskan kemarahan terhadap kerajaan, dan meminta rakyat memberi masa untuk memulihkan keamanan.
“Tetap percaya kepada tentera, kami akan menyiasat semua pembunuhan dan menghukum mereka yang bertanggungjawab,” katanya. “Saya telah mengarahkan supaya tiada tentera dan polis akan terlibat dalam sebarang jenis tembakan.”
“Kini, tugas pelajar adalah untuk bertenang dan membantu kami,” tambahnya.
Protes bermula secara aman apabila pelajar yang kecewa menuntut sistem kuota untuk pekerjaan kerajaan ditamatkan, tetapi demonstrasi itu telah berubah menjadi cabaran dan pemberontakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Hasina dan parti pemerintahnya, Liga Awami.
Kerajaan Bangladesh telah mencuba meredakan keganasan dengan kekerasan, menyebabkan hampir 300 orang terbunuh dan mencetuskan kemarahan lebih lanjut dan menggesa Hasina berundur.
Sekurang-kurangnya 95 orang, termasuk sekurang-kurangnya 14 pegawai polis maut dalam pertempuran di ibu negara pada Ahad, menurut akhbar harian berbahasa Bengali terkemuka di negara itu, Prothom Alo. Beratus-ratus lagi cedera dalam keganasan itu. – AP