Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sihat Xpress jadi ‘talian hayat’ penduduk luar bandar Ranau

    RANAU – Indah dan unik dengan dikelilingi bukit-bukau yang menghijau serta berlatarbelakangkan panorama Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia, yang dilitupi awan tebal.

    Itulah Kampung Togop Darat 1 yang terletak sekitar 49 kilometer dari bandar Ranau, dengan majoriti penduduknya terdiri daripada suku kaum Dusun, antara etnik terbesar Sabah Negeri di Bawah Bayu.

    Bunyi deruan air Sungai Kopuakan yang juga menjadi salah satu sumber air dan hasil tangkapan ikan bagi penduduk di sini pastinya tidak akan dapat dilupakan bagi sesiapa yang singgah di perkampungan kecil ini.

    Namun di sebalik suasana damai dan tenang kampung ini, ada dua isu yang masih menghantui hampir 1,000 penduduknya iaitu isu kemudahan capaian Internet dan kemudahan kesihatan.

    “Ya memang benar, dua isu inilah antara cabaran terbesar yang perlu kami hadapi setiap hari. Internet memang agak teruk di kawasan kampung, sehingga menyukarkan penduduk kampung untuk berhubung dengan ahli keluarga dan rakan-rakan serta melakukan urusan-urusan penting yang lain yang memerlukan capaian Internet.

    Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat semasa menyaksikan MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Mudah Health Tech dan Ketua Pegawai Operasi MEASAT pada pelancaran dan majlis menandatangani MoU perkhidmatan tele kesihatan Desa di Kampung Togop Darat 1 Ranau Sabah. – Bernama
    Antara peranti kesihatan yang disediakan di kiosk Sihat Xpress di Kampung Togop Darat 1, Ranau. – Bernama
    Penduduk Kampung Togop Darat 1, Noraini Lontau, mencuba perkhidmatan sistem kiosk telekesihatan pintar Sihat Xpress semasa majlis pelancaran. – Bernama

    “Untuk isu kemudahan dan akses kesihatan pula, kita hanya boleh gunakan jalan darat.

    Kalau nak ke klinik kesihatan terdekat, Klinik Kesihatan Malinsau yang dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), boleh memakan masa hampir dua jam jika menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

    “Begitu juga Klinik Kesihatan Timbua yang memerlukan hampir sejam perjalanan untuk ke sana,” kongsi ketua kampung Linggasu Barayang, 61, seorang wanita suku kaum Dusun, ketika ditemu bual Bernama.

    Jalan darat yang ada pun, tambahnya, hanyalah jalan batu kerikil dan amat kurang jalan yang berturap tar, menyebabkan setiap perjalanan yang perlu ditempuh bagi menuju ke klinik berdekatan bukanlah suatu yang mudah.

    Apatah lagi, katanya, bukan semua penduduk mempunyai kenderaan sendiri untuk pergi ke sana sehinggakan ada yang terpaksa meminjam kenderaan jiran atau rakan mereka.

    BULAN JATUH KE RIBA

    Sukar dibayangkan, apabila kemudahan asas sebegini yang biasanya cukup mudah dinikmati oleh penduduk di kawasan bandar menjadi satu kesukaran buat penduduk luar bandar seperti di Kampung Togop Darat 1. Maka sudah tentunya bantuan serta perhatian sewajarnya oleh pihak berkepentingan amat diperlukan.

    Menurut Linggasu, penduduk di kampung berkenaan juga amat dahagakan capaian perkhidmatan telekesihatan, memandangkan ramai dalam kalangan mereka menghidapi penyakit yang memerlukan perhatian dan nasihat doktor.

    “Di sini, ramai warga tua kita mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kolesterol, hipertensi dan sakit buah pinggang. Saya sendiri mempunyai penyakit darah tinggi dan obesiti, namun bila memikirkan jarak klinik yang terlalu jauh, maka amatlah sukar bagi kami untuk pergi ke sana. Ada kalanya kita terpaksa tanggung kesakitan sendiri menggunakan ubat-ubatan tradisional kerana tidak mampu untuk ke klinik terdekat,” kongsi wanita itu lagi.

    Melihat kepada kesukaran yang dialami penduduk sejak sekian lama, MEASAT Global Berhad, iaitu pembekal perkhidmatan jalur lebar luar bandar di Malaysia, mengambil inisiatif berganding bahu dengan syarikat teknologi penjagaan kesihatan, Mudah Healthtech Sdn Bhd bagi memperkenalkan perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress.

    Inisiatif itu ditumpukan kepada masyarakat luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan Internet serta penjagaan kesihatan di seluruh Malaysia dengan memanfaatkan servis jalur lebar satelit MEASAT iaitu CONNECTme NOW. Untuk perkhidmatan Internet, penduduk boleh membeli kad prabayar CONNECTmeNOW serendah RM10.

    Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata menerusi kiosk yang diwujudkan di sebuah kedai runcit terpilih di kampung Togop Darat 1, penduduk kampung boleh memanfaatkannya untuk memeriksa sendiri tanda-tanda penting seperti paras oksigen, tekanan darah dan suhu badan, serta berunding dengan doktor dalam talian untuk masalah perubatan bukan kecemasan.

    “Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan mewujudkan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti, menangani ketidaksamaan penjagaan kesihatan yang sentiasa dialami penduduk luar bandar, serta membolehkan penawaran terhadap penjagaan kesihatan di desa sentiasa tersedia.

    “Dengan adanya kiosk sebegini, ia boleh mengurangkan beban kos pengangkutan yang perlu ditanggung oleh penduduk yang ada kalanya mencecah puluhan mahupun ratusan ringgit,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) Perkhidmatan Telekesihatan Desa di antara MEASAT-Mudah Healthtech yang diadakan pada 16 Mei lalu.

    Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Flovia Ng, turut hadir di majlis itu.

    Seramai 17 orang wakil syarikat media dari seluruh negara didatangkan khas untuk membuat liputan berita pengenalan telekesihatan Sihat Xpress serta pelan masa hadapan untuk pelancaran rasminya.

    Puluhan penduduk kampung terbabit turut hadir kerana tidak mahu ketinggalan menyaksikan majlis yang bersejarah itu.

    Majlis itu turut diserikan oleh sekumpulan penari wanita muda yang menyambut ketibaan tetamu dengan tarian tradisional etnik Dusun dengan diiringi irama lagu-lagu rakyat dari paluan gong kecil.

    SEMAK SENDIRI KESIHATAN

    Menjelas lanjut mengenai kiosk telekesihatan itu, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Mudah Healthtech, Navinderan Mageswaran berkata, antara peranti yang disediakan termasuklah tablet untuk perundingan audiovisual bersama doktor dalam talian, peranti tekanan darah, oksimeter atau SPO2 bagi pemeriksaan kadar denyutan nadi dan kepekatan oksigen dalam darah, serta peranti termometer untuk memeriksa suhu badan.

    “Kesemua peranti ini penting bagi penduduk membuat saringan kesihatan yang kurang kritikal, selain membantu dari segi pengenalpastian dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti hipertensi, serta pengesanan awal penyakit paru-paru termasuklah asma.

    “Manakala peranti tablet pula dibekalkan dengan akses internet CONNECTme NOW bagi memudahkan pesakit terus berhubung dengan 150 doktor yang berada di bawah seliaan pihak Mudah Healthtech.

    Menerusi sesi konsultasi digital tersebut, maka ia akan memudahkan penduduk membuat keputusan sama ada perlu atau tidak ke klinik berdekatan bagi mendapatkan ubat ataupun rawatan sewajarnya daripada doktor,” tambahnya.

    Setakat tiga bulan lepas, pihaknya mendapati sebanyak 463 kali pemeriksaan dilakukan, dengan purata sekitar empat sesi pemeriksaan setiap hari. Manakala sesi telerundingan pula dilakukan sebanyak sembilan sesi setakat ini.

    Daripada data berkenaan, didapati 47 peratus daripada populasi penduduk dikesan mempunyai tanda awal hipertensi, prevalens tinggi peringkat pra-hipertensi dan hipertensi dalam kalangan penduduk kampung. Tanda itu boleh dikesan menerusi bacaan tekanan darah tinggi yang dilakukan.

    “Bukan itu sahaja, kita dapati beberapa isu kesihatan lain yang memerlukan perhatian segera. Contohnya, 14 peratus daripada pengguna didapati mengalami kadar denyutan nadi di luar julat normal, yang boleh mengakibatkan masalah jantung, tekanan yang melampau serta anomali psikologi.

    Meskipun kios berkenaan berkonsepkan layan sendiri dan terdapat video untuk mengajar penduduk menggunakan peranti yang disediakan serta berhubung dengan doktor dalam talian, terdapat staf sokongan untuk memberi bantuan sementara petugas MEASAT akan melakukan penyelenggaraan berkala di kiosk berkenaan.

    Setakat ini, kiosk itu hanya akan memberi tumpuan kepada perundingan doktor sahaja.

    Penghantaran ubat adalah sebahagian daripada pelan masa depan projek termasuk servis kaunter dan ubat preskripsi, membabitkan kerjasama dengan pemegang taruh industri kesihatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda