Wednesday, October 9, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sindiket jadikan pelabuhan transit seludup dadah tumpas

    JOHOR BAHRU, 8 OKT – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan sindiket penyeludupan dadah terbesar tahun ini melibatkan rampasan bernilai RM12.05 juta selepas menyita sebuah kontena sejuk beku di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri pada 1 Oktober lepas.

    Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan 60.2 kilogram (kg) serbuk mampat disyaki kokain itu dilakukan pada 11:15 pagi hasil maklumat dan risikan selama sebulan oleh Cawangan Risikan Zon Selatan.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kontena itu didapati membawa 19 tan udang segar sejuk beku bernilai RM735,000 yang diikrarkan sebagai barang dagangan.

    “Bagaimanapun, hasil pemeriksaan rapi kita menemukan 62 bungkusan plastik mengandungi serbuk mampat berwarna putih disyaki kokain yang disembunyikan di ruang pendingin hawa kontena.

    “Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kontena berkenaan telah berada di pelabuhan itu dalam dua atau tiga hari sebelum operasi sitaan dibuat,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

    Beliau berkata hasil maklumat mendapati kontena dari India itu transit di pelabuhan berkenaan sebelum dibawa ke destinasi seterusnya iaitu di Miami, Amerika Syarikat.

    Aminul Izmeer berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menyiasat kes berkenaan.

    Dalam pada itu, beliau berkata modus operandi sindiket penyeludupan dadah berkenaan didapati sama dengan kes rampasan dilakukan pihaknya yang melibatkan 50kg kokain selepas menyita sebuah kontena dari China di pelabuhan sama pada Mei lepas. – Bernama

    Aminul Izmeer Mohd Sohaimi (tengah) menunjukan barang kes yang dirampas di Perlabuhan Tanjung Pelepas pada Sidang Media di Menara Kastam Johor pada 8 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda