Saturday, October 12, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suami, isteri hasil kek lapis Sarawak cita rasa Semenanjung

    KOTA BHARU – Pulang ke Semenanjung pada 2019 selepas 11 tahun berkhidmat di Bumi Kenyalang membuatkan Mohd Fauiza Mat Rifin, seorang anggota pasukan keselamatan sentiasa ‘rindu’ dengan keenakan rasa kek lapis Sarawak.

    Anak kelahiran Kampung Jalan Atas Paloh, Kota Bharu berusia 37 tahun itu lantas memberi idea kepada isterinya Siti Nordiana Daud, 32, yang berasal dari Samariang, Kuching untuk memulakan perniagaan kek lapis secara kecil-kecilan dari kuarters kediaman mereka di Pengkalan Chepa.

    Lima tahun berselang, jauh di seberang Laut China Selatan, kek lapis di bawah jenama ‘Rasa Lapis’ hasil air tangan Siti Nordiana semakin dikenali ramai, kisah kejayaan yang bermula daripada rasa rindu dan hasrat mahu lebih ramai rakyat Malaysia merasai keenakan sajian yang amat terkenal di Sarawak.

    “Kami memulakan perniagaan ini pada 2019 dengan modal RM300 yang dipinjam daripada ibu saya. Lebih mudah isteri juga memiliki kemahiran kerana pernah membantu ibu saudaranya membuat kek lapis di Kuching.

    “Pada mulanya kami hanya buat dan jual, pesanan pula diterima daripada rakan sekerja saya dan isteri, selain pada Jumaat dan Sabtu kami buka khemah jualan berhampiran sebuah pasar raya di Lembah Sireh,” kata Mohd Fauiza yang ditemui Bernama di premisnya di Jalan Atas Banggol.

    Siti Nordiana menunjukkan kek lapis yang dijual di Jalan Atas Banggol. – Gambar Bernama
    Antara kek lapis yang dihasilkan. – Gambar Bernama

    ‘Sik lelah’ (tidak penat) dengan kerja-kerja melapis kek yang mengambil tempoh agak lama, pasangan suami isteri itu berjaya mengembangkan perniagaan mereka hingga mampu menyewa sebuah premis yang lebih besar di Jalan Atas Banggol pada 2020 untuk memajukan perusahaan itu.

    Bercerita lanjut, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana berkata niat awal yang mahu membawa budaya menghidangkan kek lapis pada musim perayaan sama seperti di Sarawak membuahkan hasil apabila diterima ramai, malah permintaan juga semakin menggalakkan.

    “Pada permulaan perniagaan, saya hasilkan kira-kira 20 jenis kek lapis dan ketika ini jumlah sudah meningkat kepada 29 jenis. Antara yang dijual ialah kek lapis masam manis, lumut, belacan dan tembikai.

    “Setiap hari saya dibantu dua pekerja dan mampu hasilkan lapan loyang kek lapis yang setiap satu memerlukan kira-kira dua jam untuk disiapkan. Setiap loyang mampu menghasilkan kira-kira 10 buku kek yang dijual pada harga antara RM15 hingga RM20 setiap satu,” katanya.

    Menurut Nana, penerimaan dan permintaan daripada pelanggan terhadap kek lapisnya sangat baik hasil jualan menerusi platform e-dagang, media sosial dan kedai, malah mereka kini turut mempunyai lebih 40 ejen di seluruh Semenanjung. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda