Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Dalam usaha mengeratkan silaturahim, memupuk keyakinan dan sikap tidak berputus asa serta pemedulian dalam kalangan penduduk kampung, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol dengan kerjasama Sekolah Rendah (SR) Nakhoda Abdul Rashid, Menunggol telah menganjurkan acara sukan ria bertempat di padang sekolah tersebut, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara bersempena musim cuti penggal persekolahan hujung tahun ini ialah Pegawai Pendidikan, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Mohammad Suazmie bin Haji Zulkifli, sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang permainan pada akhir acara. Turut hadir ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram.
Acara sukan ria itu melibatkan semua penduduk kampung yang menetap di dalam mahupun luar kampung di mana matlamat ia diadakan adalah bagi memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan interaksi yang sihat dalam kalangan penduduk kampung tanpa mengira usia.
Antara aktiviti permainan yang diadakan adalah lumba membawa belon suami isteri, cabaran membaling kelapa paling jauh bagi warga emas, lumba menganyam ketupat, pancing botol bagi kanak-kanak, memindahkan kacang hijau menggunakan alat penyepit.
Acara kemuncak sukan ria tersebut adalah cabaran kiri kanan depan belakang iaitu suatu permainan yang menilai sejauh mana para peserta dapat memberikan perhatian dalam mendengar arahan dan kepantasan peserta bertindak.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Menunggol, Haji Ibrahim bin Haji Osman mengongsikan bahawa MPK Menunggol berserta ahli-ahlinya pada setiap tahun akan menjalankan beberapa aktiviti yang telah dirancang bersempena hari-hari kebesaran Islam mahupun hari kebangsaan.
Penganjuran acara sukan ria berkenaan juga bertujuan mendukung hasrat negara yang mahukan rakyatnya sentiasa sihat dari segi fizikal mahupun mental.