Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Swiss dijangka lulus undang-undang tenaga hijau

    GENEVA, 9 JUN – Pengundi Swiss dijangka menyokong undang-undang dalam referendum hari ini yang bertujuan mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui sebagai usaha negara itu mencapai neutral karbon menjelang 2050.

    Menurut tinjauan pendapat terakhir yang diterbitkan pada Mei, 73 peratus pengundi dijangka meluluskan undang-undang mengenai ‘bekalan elektrik yang selamat berdasarkan tenaga boleh diperbaharui’.

    Kurang daripada dua bulan yang lalu, Switzerland menjadi negara pertama yang pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah antarabangsa kerana tidak melakukan tindakan yang mencukupi untuk menangani perubahan iklim, dalam satu keputusan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

    Undang-undang baharu itu telah diluluskan oleh parlimen tahun lalu, dan kebanyakan organisasi alam sekitar menyokong undang-undang serta matlamatnya.

    Namun, beberapa kumpulan yang menentang undang-undang tersebut berjaya mendapatkan sokongan yang mencukupi untuk mencetuskan referendum.

    Mereka bimbang ia akan mempercepatkan projek tenaga berskala besar dan melihat landskap Alpine Switzerland yang indah dipenuhi dengan turbin angin dan panel solar.

    Mereka juga mengecam sekatan ke atas penduduk tempatan yang berkemungkinan besar mengemukakan rayuan terhadap pembinaan kemudahan tenaga boleh diperbaharui yang baharu.

    Ahli ekonomi yang telah bersara, Pierre-Alain Bruchez, yang mempelopori usaha referendum itu, berkata tidak ada alasan untuk memasang panel solar di padang rumput ternak, apabila terdapat banyak ruang di bangunan.

    Beliau memulakan kempen selepas mengetahui mengenai projek Grengiols-Solar, yang bertujuan untuk memasang sekitar 230,000 panel solar di kawasan pergunungan Wallis, pada ketinggian 2,500 meter, menyebutnya sebagai ‘visi mengerikan’. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda