Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tentera Laut Indonesia gagalkan cubaan penyeludupan dadah

    JAKARTA, 20 SEPT – Tentera Laut Indonesia dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang telah menggagalkan cubaan menyeludup kokain dan syabu ke Indonesia melalui perairan terluar negara itu bulan ini, lapor agensi berita ANTARA.

    Dalam sidang media kelmarin, Panglima Armada Tentera Laut, Laksamana Madya Denih Hendrata memaklumkan bahawa beberapa kilogram kokain dan syabu telah dirampas di Pulau Berhala, Sumatera Utara dan perairan Pulau Sebatik, Kalimantan Utara.

    “Kami menemui 84.75 kilogram kokain dalam 74 bungkusan. Setiap bungkusan mengandungi antara 1.05 hingga 1.5 kilogram dadah,” katanya.

    Pada majlis sama, Panglima Armada Tentera Laut Laksamana Muda Yoos Suryono Hadi berkata kaedah yang digunakan untuk menyeludup kokain itu adalah serupa dengan sistem penghantaran narkotik di darat.

    Bagi memindahkan dadah melalui laut, keldai dadah membawa kokain melalui laluan laut dan menjatuhkan bungkusan ke perairan. Mereka kemudian memberikan koordinat bungkusan terlibat kepada penerima.

    Cubaan seperti ini telah digagalkan di perairan berhampiran Selat Melaka oleh kapal peronda Tentera Laut Indonesia, KAL Pandang I-1-72 pada 16 September.

    Sementara itu, di perairan sekitar Pulau Sebatik, Tentera Laut Indonesia berjaya menangkap seorang keldai dadah dan merampas bungkusan syabu yang hendak dipindahkan melalui laluan laut.

    Perairan sekitar Pulau Sebatik merupakan kawasan perairan terluar Indonesia yang bersempadan dengan Malaysia. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda