BEIJING – Seorang artis kraf dari Persatuan Sastera dan Seni Rakyat wilayah autonomi Xinjiang Uygur, Pei Ming, 66, mendalami sejarah dan seni pembuatan permaidani Xinjiang.
Keunikan dan keindahan permaidani itu, yang terkenal dengan sifat inklusifnya, telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sejak zaman dahulu.
Melangkah masuk ke mana-mana rumah tradisional di wilayah autonomi Xinjiang Uygur di barat laut China, permaidani sering menjadi elemen dekorasi dalaman yang paling menarik perhatian.
Diperbuat daripada bulu kam-bing bermutu tinggi, permaidani itu ditenun dengan corak rumit dan menghasilkan warna-warna cerah yang menarik. Ia digunakan oleh pelbagai etnik di Xinjiang untuk menutup lantai, sofa atau menghiasi dinding, menjadikannya bukan sahaja sebagai penebat tetapi juga sebagai hiasan.
Wilayah Xinjiang merupakan antara tempat asal pembuatan permaidani unik tersebut.
Bukti arkeologi menunjukkan seni tenunan permai-dani buatan tangan telah wujud di wilayah itu lebih daripada 2,000 tahun lalu. Cebisan permaidani dari era Dinasti Han Barat (206 SM-24 M) yang ditemui di runtuhan bandar purba Loulan di selatan Xinjiang adalah antara artifak permaidani terawal yang pernah ditemui di China. Penemuan itu mengesahkan asal-usul seni kraf tersebut di wilayah berkenaan.
Permaidani Xinjiang sering menampilkan motif seperti tumbuhan, bunga, buah-buahan, ranting, daun, dan haiwan, yang digabungkan dengan corak geometrik. Antara reka bentuk tradisionalnya ialah anargul (bunga delima), bash chichak gul (bunga lima kelopak), dan chachma gul (bunga bertaburan). Permaidani itu biasanya menggunakan komposisi berbingkai penuh. Sebagai salah satu persimpangan Laluan Sutera purba, permaidani Xinjiang turut mencerminkan pengaruh budaya yang pelbagai.
“Sebagai contoh, corak bunga mawar pada permaidani diilhamkan dari Mesir, manakala reka bentuk puncak gunung berasal dari Turkiye dan Iran. Sementara itu, corak bunga Peony dan Teratai pada permaidani Xinjiang diinspirasikan daripada rekaan sulaman popular dari Tanah Besar China,” kata Pei Ming.
Pei yang menceburi kajian sejarah dan seni permaidani Xinjiang berkata, permaidani itu telah lama diiktiraf kerana keunikan dan keindahannya.
Pada zaman Dinasti Yuan (1271-1368), Samarkand, sebuah bandar purba di Uzbekistan, menjadi pusat pengedaran permaidani di Asia Tengah. Menjelang abad ke-16, permaidani Xinjiang sudah memasuki pasaran Eropah. Pengeluaran permaidani buatan tangan di wilayah ini mencapai kemuncaknya semasa era Dinasti Qing (1644-1911), apabila permaidani dari Hotan di Xinjiang menjadi barangan penghormatan penting untuk istana diraja.
Permaidani Hotan diperbuat daripada bulu kambing tempatan yang berkualiti tinggi, dengan tekstur kasar tetapi tidak melekit, ketebalan sederhana, daya tahan tinggi serta keanjalan yang baik. Bulu tersebut dipintal menjadi benang, diwarnakan dengan warna-warna cerah, sebelum dijalin dalam warp, weft, dan pile.Untuk memastikan mutu pengeluaran, corak dan warna permaidani dirancang dengan teliti sebelum tenunan dilakukan. Kebanyakan permaidani Xinjiang dihasilkan menggunakan alat tenun menegak.
Benang warp dan weft dicantum untuk mencipta asas, diikuti dengan simpulan benang kecil pada pile.
Permaidani dengan ribuan simpulan itu mampu bertahan lama. Malah, walaupun terdapat kerosakan pada sebahagian permaidani, jangka hayat keseluruhannya tidak terjejas.
Teknik itu juga menghasilkan corak jelas di kedua-dua belah permaidani, menjadikannya lebih menarik. Pembuatan sebuah permaidani bulu hasil tangan yang indah boleh memakan masa beberapa bulan, daripada kerja keras penenun yang mahir. Hingga kini, teknik pembuatan permaidani ini terus diwarisi dari generasi ke generasi di Hotan. – ANN/China Daily