Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tetap optimis meniti cabaran perniagaan dalam talian

    Oleh Nurdiyanah R. 

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Tak kenal maka tak cinta, begitulah ungkapan yang menggambarkan ketulusan minat insan salah seorang peserta di bawah Program Usahawan Berkarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak tahun lalu secara kecil-kecilan.

    Berbekalkan prinsip ‘berkarih, berjarih, belurih’, Dayang Nurafhny binti Abdul Rahman, tetap optimis meniti warna-warna arus perniagaan secara dalam talian yang mengetengahkan produk busana Muslimah.

    Beliau menjelaskan bahawa detik pengalaman semasa menyertai ekspo pada bulan Ramadan beberapa bulan lalu telah mendorongnya mengorak langkah pertama dalam menceburi bidang penjualan busana Muslimah secara sepenuh masa.

    Selain menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, beliau juga berhasrat memulakan perniagaan secara dalam talian.

    “Sudah menjadi lumrah dalam perniagaan akan ada pasang surutnya, namun kerana minat, saya yakin rezeki Allah SWT itu ada di mana-mana selagi kita sentiasa berusaha tanpa berputus asa,” luah usahawan wanita berkenaan ketika berkongsi detik-detik keindahan menjalankan perniagaannya.

    Bukan hanya setakat menampilkan barangan busana Muslimah, namun Dayang Nurafhny menjual variasi aksesori kaum hawa antaranya beg berjenama, jam tangan, kasut dan produk kosmetik.
    Dayang Nurafhny yakin rezeki Allah SWT itu ada di mana-mana selagi kita sentiasa berusaha tanpa berputus asa untuk mendapatkannya

    Semua produk pembelian terlebih dahulu akan disembur dengan pembasmi kuman sebelum proses pembungkusan.

    Takkan mengalah meski cabaran melanda

    Berbicara mengenai rentetan gelombang kedua wabak COVID-19 yang melanda negara kita, Dayang Nurafhny yang kini berusia 40 tahun berkenaan juga menyatakan selaku usahawan kecil-kecilan, beliau juga tidak dapat menafikan menerima impak dan cabaran dalam perniagaannya sehingga terpaksa membatalkan penyertaan dalam ekspo-ekspo sepanjang krisis pandemik ini demi sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial ke arah membendung penularan virus.

    “Meski pun begitu, saya tidak ingin hanya berdiam diri begitu sahaja, dan yakin ia merupakan resam dunia berniaga, maka saya bangkit untuk terus mengorak langkah memajukan diri dan mencari peluang bagi mengembangkan lagi pemasaran dalam talian. Sebagai satu strategi pemasaran, saya sentiasa mengikuti perkembangan jualan produk barangan yang ditawarkan dari semasa ke semasa, itulah rutin harian saya agar lebih dikenali ramai,” ujar usahawan wanita tersebut yang sememangnya begitu gemar mengikuti ekspo-ekspo kerana dari situ memberikannya peluang untuk menemui para pelanggan secara langsung.

    Menariknya, ibu kepada empat orang anak ini turut menambah salah satu strateginya juga mengadakan pertandingan ‘Giveaway : Follow, Like, Comment & Share!’ bagi para pengikut Instagram beliau untuk mendapatkan satu set busana Muslimah.

    Melalui strategi tersebut mampu memainkan peranan istimewa dalam meningkatkan lagi pemasaran keluaran produk barangan yang dijual pada masa kini lebih-lebih lagi dalam berdepan dengan cabaran krisis pandemik ini.

    Pengalaman mendidik diri

    Sememangnya penglibatan Dayang Nurafhny dalam berniaga ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dirinya malah beliau sudah mula belajar menerokainya semenjak tahun 2016 lagi di mana pada ketika itu hanya untuk ‘suka-suka’ sahaja seperti membeli barangan beg berjenama dan koleksi tudung dari luar negara untuk dijual semula di negara ini.

    Bukan hanya terbatas menerusi pengalaman peribadi dalam berniaga malah detik pengalaman manis semasa berpeluang bekerja sebagai pembantu kedai di salah sebuah perusahaan butik mengetengahkan produk barangan berjenama sewaktu ketika dahulu juga bagaikan cebisan kenangan bersulam pengalaman yang secara tidak langsung mengajarnya erti kesabaran khususnya dalam aspek pengendalian pelanggan yang berkesan.

    Usahawan wanita ini turut menambah dengan mengikuti beberapa kegiatan yang dianjurkan oleh pihak Yayasan di bawah program tersebut terutamanya beberapa bengkel atau kursus keusahawanan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei, semuanya itu mendidik dirinya untuk lebih menyelami ilmu pengetahuan asas dalam dunia keusahawanan lebih teratur dan menyeluruh merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya.

    Kini, beliau bukan hanya setakat menampilkan barangan busana Muslimah, namun variasi aksesori kaum hawa antaranya beg berjenama, jam tangan, kasut dan produk kosmetik juga menjadi antara produk yang diketengahkan demi untuk mempelbagaikan jualannya.

    Menimba ilmu tiada noktah

    Berkongsi mengenai langkah prosedur operasi standard (SOP) selain mengamalkan salah satu tanggungjawab sosial bersama, Dayang Nurafhny yang menjalankan perniagaan secara persendirian itu turut menyatakan semua produk pembelian setiap pelanggannya terlebih dahulu akan menjalani semburan pembasmi kuman sebelum melalui proses pembungkusan menggunakan plastik.

    Beliau yang kini memiliki bilik pameran mini di kawasan kediamannya yang terletak di perumahan Kampung Tanah Jambu itu menambah, setelah barangan sudah siap tersedia, para pelanggan boleh mengambil barangan mereka ke rumah secara contactless dan memiliki pengesahan kod berwarna hijau dalam aplikasi BruHealth mereka. Mereka juga boleh menerima produk menerusi perkhidmatan meeting point atau penghantaran terus ke rumah mereka.

    “Sebagai seorang usahawan, saya harus mempunyai semangat untuk terus menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sebanyak-banyaknya. Ilmu itu bagaikan tiada noktah, begitulah prinsip yang saya pegang dalam meniti bidang perniagaan ini.

    “Pastinya, sikap tidak mudah mengalah dalam menempuhi cabaran berniaga juga mesti disemai dalam diri dan jiwa ini, di samping sentiasa yakin rezeki Allah itu ada di mana-mana selagi kita mampu berusaha dan bersaing secara sihat,” ucapnya tulus semasa mengakhiri pertemuan bersama penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda