Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Tiga penceramah kongsi pandangan perniagaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Pandangan mendalam dan kepakaran tiga orang penceramah luar negara bersama tokoh-tokoh kanan kerajaan dan perniagaan tempatan akan diketengahkan semasa Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung di Dewan Persidangan Antarabangsa Berakas pada 2 Februari.

    Persidangan yang membawa tema ‘Di Luar Pemulihan: Mencapai sebuah Masa Hadapan Digital Mampan’ itu akan menyaksikan pembentangan oleh Setiausaha Agung Sekretariat Antarabangsa Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC), Eduardo Pedrosa yang berpangkalan di Singapura. Dalam pembentangan itu nanti, beliau akan memberikan penerangan mengenai laporan State of the Region, yang menggariskan isu-isu geopolitik dan ekonomi yang dihadapi Asia.

    Di samping itu, beliau juga akan mengambil bahagian dalam sesi panel perbincangan yang akan memberikan pencerahan mengenai perkembangan yang memberikan kesan kepada ekonomi serantau serta perbincangan mengenai keutamaan ekonomi Brunei bagi 2023.

    Sementara itu, penceramah remaja luar negara yang berusia 17 tahun dari London, Femi Owolade-Coombes akan memberikan pandangan dan berkongsi minat serta perjalanannya dalam pengekodan.

    Beliau telah mewakili Bakat Teknologi Muda British di Global Tech Advocates Festival di China dan mewakili bagi pihak Jabatan Perdagangan Antarabangsa di UK-ASEAN Business and Investment Summit 2019.

    Baru-baru ini, beliau telah mengasaskan bersama kumpulan kerja Tech London Advocate: Young Entrepreneurs. Beliau juga akan diketengahkan dalam panel perbincangan bersama-sama pakar tempatan untuk membincangkan bagaimana kaedah terbaik untuk kita memanfaatkan pendigitalan dalam masyarakat, perniagaan dan ekonomi.

    Manakala itu, Pengerusi Nusantara Capital City Authority, Bambang Susantono yang berpangkalan di Republik Indonesia akan mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan dari jauh. Autoriti itu bertanggungjawab bagi merancang dan membina ibu negara baharu Indonesia serta untuk mengawasi peralihan ke bandar raya baharu itu serta akan menjadi pentadbirnya.

    Beliau akan membentangkan tajuk Nusantara: A Green and Smart Global City, serta akan berkongsi rancangan bagi peralihan bandar raya ibu negara itu serta aspirasinya sebagai sebuah bandar raya pintar. Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dengan persidangan berkenaan boleh melayari laman sesawang https://bit.ly/national-business-conference. Penyertaan dalam persidangan berkenaan adalah percuma tetapi ruang adalah terhad.

    Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 merupakan sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei, iaitu sebuah inisiatif oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan ASEAN Brunei dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta dengan kerjasama Bank Baiduri dan organisasi-organisasi utama yang berkaitan dengan isu-isu global dengan ekonomi Brunei. AIA, Darussalam Enterprise (DARe), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS), Penerbangan Diraja Brunei, Radio Televisyen Brunei, Borneo Bulletin dan Media Permata juga merupakan rakan kongsi kepada program berkenaan.

    ATAS & BAWAH: Bambang Susantono, Eduardo Pedrosa dan Femi Owolade-Coombes.- Gambar serahan Kementerian Kewangan dan Ekonomi

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    24 maut lebuh raya runtuh di selatan China

    BEIJING, 1 MEI - Sekurang-kurangnya 24 orang maut selepas sebahagian lebuh raya runtuh akibat hujan lebat di wilayah Guangdong, selatan China hari ini, kata...