Tiga selebriti popular, Datuk Jalaluddin Hassan, Ziana Zain dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor difahamkan tiba di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar pukul 9:30 pagi tadi.
Mereka bertiga dipanggil untuk memberi keterangan bagi kes rasuah membabitkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Kehadiran ketiga-tiga selebriti itu bagi memberi keterangan dan melengkapkan siasatan berhubung kes sindiket pengubahan wang haram melibatkan sebuah syarikat pengurusan kewangan yang tumpas dalam Ops Sky baru-baru ini, lapor mStar Online.
Bagaimanapun Jalaluddin dan Ziana dikatakan tidak melalui pintu utama SPRM di mana lokasi pengamal media menunggu kehadiran mereka seawal pukul 8 pagi.
Mereka dipercayai menggunakan jalan ‘belakang’ bagi mengelak bertembung dengan pihak media.
Seorang pegawai SPRM yang berada di pos pengawal memaklumkan perkara sama namun tidak dapat dipastikan waktu sebenar Jalaluddin dan Ziana tiba di lokasi.
“Dah sampai dah Puan. Mereka bersama pasukan siasatan,” ujar seorang pegawai SPRM ketika ditanya petugas media mengenai selebriti ini.
Ketiga-tiga artis itu kini sedang disoal siasat namun tidak dipastikan berapa lama tempoh siasatan itu mengambil masa.
Susulan kejadian berkenaan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga mengadakan sidang media hari ini (Khamis) berhubung kejadian berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, media melaporkan pihak SPRM telah memanggil beberapa selebriti namun tidak mendedahkan sebarang nama.
Siasatan berkenaan dilakukan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Difahamkan kesemua selebriti terbabit dilaporkan menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 daripada syarikat terbabit selepas mereka bertindak sebagai duta kepada syarikat itu.
Lebih mengejutkan apabila hasil siasatan SPRM mendapati sindiket itu turut melabur sejumlah wang yang besar bagi penciptaan lagu membabitkan penyanyi ternama.
SPRM sebelum ini berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan. – Agensi