BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Kemakmuran negara yang berdaya tahan, bukan terletak kepada besarnya sektor kerajaan, tapi pada kukuh dan tumbuhnya keluaran sektor swasta dan kunci utama pertumbuhan KDNK adalah peningkatan produktiviti (teknologi pengeluaran) dan kejayaan produk kita menembusi pasaran eksport.
Oleh itu pemikiran eksport patut disebarluaskan, bukan sahaja dalam kalangan pengusaha-pengusaha dalam negara, malah dalam kalangan penggubal dasar, pihak regulator dan kepada semua peringkat masyarakat.
Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong berkata demikian semasa menyampaikan kuliah Kuliah Khas Melayu Islam Beraja (MIB) ‘Pembangunan Ekonomi Negara Dalam Merealisasikan Wawasan 2035’ di Auditorium Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini.
Beliau berkata, pengangguran yang tinggi sekarang patut menjadi pendorong kepada belia untuk tidak terus bergantung kepada sektor kerajaan sahaja.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyarankan para belia untuk menimba ilmu (ICT dan ilmu perniagaan) untuk lebih versatil dan produktif, serta perlu bersedia bekerja dengan pihak swasta atau bekerja sendiri di samping mengambil peluang daripada kemudahan ICT bagi mengendalikan urusan kerja dan perniagaan.
Dalam kuliah tersebut Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menjelaskan mengenai visi dan misi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) iaitu menerajui pertumbuhan keluaran industri sumber-sumber utama dan pelancongan untuk menjadi penyumbang yang signifikan kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, di samping memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi tinggi, serta memfokuskan kepada pasaran eksport.
Beliau menekankan, kelembapan ekonomi yang dihadapi, jika berterusan bererti hasrat untuk mencapai Wawasan 2035 mungkin akan tergugat.
Sementara itu UNISSA dalam kenyataannya menjelaskan, kuliah berkenaan bertujuan untuk mengetahui kedudukan ekonomi negara yang perlu diketahui pada masa kini dan mengetahui jalan atau cara untuk membangun Negara Brunei Darussalam.
Kursus MIB yang ditawarkan kepada mahasiswa-mahasiswi UNISSA dikategorikan sebagai kursus wajib universiti yang bertujuan untuk mendukung dan merealisasikan visi dan misi UNISSA.
UNISSA memandang berat akan peri pentingnya MIB ini dan diharap akan dapat memberi kefahaman dan penghayatan kepada setiap mahasiswa-mahasiswi tentang pengertian MIB dengan menekankan tentang kedudukannya sebagai falsafah Negara Brunei Darussalam.
Seramai 187 orang mahasiswa-mahasiswi Tahun Per-tama dari Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm) telah menghadiri kuliah berkenaan yang telah dipengerusikan oleh Dekan FEKIm, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Hadir sama mendengarkan Kuliah Khas tersebut ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, penolong rektor UNISSA, pengarah PPIB, para pegawai dan kakitangan UNISSA.