MELBOURNE, AUSTRALIA, 20 JUN – Penuntut-penuntut diseru untuk mengambil peluang menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran, di samping membina diri dan sahsiah dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat.
Selain itu, yang lebih utama juga adalah terus menjalankan kewajipan beragama seperti sembahyang lima waktu, membaca Al-Quran dan lain-lain tuntutan amal salih.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Bersama Penuntut-penuntut serta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand.
Baginda semasa bertitah pada majlis yang diadakan di Park Hyatt Melbourne itu turut menekankan bahawa sumber tenaga manusia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi adalah penting untuk mencapai wawasan 2035.
Oleh itu, para pelajar memainkan peranan penting dalam melakar masa depan yang cemerlang.
Mengenai cabaran dalam pengajian, Baginda bertitah bahawa para pelajar, dengan sokongan Kementerian Pendidikan boleh meneroka cara-cara untuk mengatasinya.
Pada mengakhiri titah, Baginda menasihatkan para pelajar untuk memartabatkan budaya orang Brunei dan menjunjung tinggi falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) selain melengkapkan diri dengan vaksin ketuhanan, berupa zikir, doa, selawat dan membaca Al-Quran sebagai perisai untuk menolak mudarat dan musibah.
Dengan berkat kecekalan, ketabahan dan ketahanan jati diri, para pelajar akan mampu mengharungi cabaran dan dengan semangat berkobar-kobar untuk berjaya dalam pengajian.
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Australia, Tuan Yang Terutama Garry Ramlee bin Ibrahim; Yang Di-Pertua Persatuan-persatuan Pelajar Negara Brunei Darussalam di Australia dan New Zealand, Dayang Nurul Aqimah binti Abdullah Muhammad Masyadi serta Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut Brunei di Melbourne, Awang Zulfadli bin Mawardi.
Sejurus selepas itu, Baginda dijunjung berangkat bagi Majlis Santap Minum Petang bersama perwakilan penuntut, serta dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan sebelum menghadiri Majlis Bersama Rakyat.
Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Muhammad Razqan bin Haji Abdul Razak dari Universiti New South Wales, manakala inti sarinya dibacakan oleh Awang Aiman Baihaqi bin Haji Rusli dari Universiti Queensland.
Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Sementara itu, Yang Di-Pertua Persatuan-persatuan Pelajar di Australia dan New Zealand, dalam sembah alu-aluan antara lainnya menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke atas keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, yang mencerminkan manifestasi sikap pemedulian dan keprihatinan Baginda terhadap kesejahteraan penuntut, rakyat dan penduduk Brunei di Australia dan New Zealand, serta memuatkan sembah ikrar taat setia yang tidak berbelah-bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Pada penghujung acara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berangkat bercemar duli bersama kira-kira 467 orang yang terdiri daripada penuntut-penuntut, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di Australia dan New Zealand.
Majlis yang juga diserikan dengan persembahan tausyeh ‘Tala’ al-Badru ‘Alayna’, antara lainnya memberikan peluang keemasan kepada rakyat dan penduduk khasnya yang berada di Australia dan New Zealand untuk berjunjung ziarah dan beramah mesra kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Selesai acara-acara di Melbourne, Baginda kemudiannya berangkat ke Darwin bagi meneruskan Keberangkatan Negara Baginda.