Saturday, December 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran hak pekerja

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 30 NOV – Bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang hak pekerja dalam kalangan ekspatriat yang bekerja di Brunei, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Buruh di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan latihan dan sesi soal jawab di dewan Persatuan India Belait, Seria kelmarin.

    Lebih 80 pekerja Bangladesh yang bekerja di Daerah Belait serta wakil syarikat telah menyertai latihan tersebut.

    Hadir menyaksikan sesi diadakan ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei dan pengerusi program, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.

    Beliau merakamkan terima kasih kepada Jabatan Buruh kerana sudi meluangkan masa memberikan penerangan kepada pekerja Bangladesh tentang sebarang kemusykilan yang timbul mengenai isu pekerjaan, sambil menambah ia merupakan peluang eksklusif untuk kedua-dua pihak berinteraksi serta menjelaskan sebarang salah tanggapan mengenai buruh.

    Semasa sesi itu, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Buruh Belait juga berkongsi pengetahuan mereka tentang pelbagai fungsi Jabatan Buruh Brunei.

    Antara topik yang dibincangkan ialah Perintah Pekerjaan 2009, gaji minimum, prosedur aduan, remedi dan isu relevan lain yang berguna untuk pekerja.

    Kakitangan yang menyertai acara itu juga berpeluang bertanya soalan dan berkongsi pengalaman kerja mereka di Brunei.

    Sementara itu, bahagian buruh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut memberikan taklimat mengenai skim pencen sejagat yang dimulakan oleh kerajaan Bangladesh baru-baru ini bagi memastikan keselamatan sosial semua rakyat di Bangladesh.

    Salah satu skim yang diperkenalkan ialah Probash yang khusus untuk perkhidmatan pekerja asing sahaja.

    PYT Nahida Rahman Shumona menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Pegawai kanan Jabatan Buruh menyampaikan ceramah mengenai Perintah Pekerjaan pada sesi yang berlangsung di dewan Persatuan India Belait, Seria baru-baru ini. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda