Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 19 JAN – Sebagai sebahagian daripada tradisi tahunan kumpulan tarian singa di Persatuan Foochow Kuala Belait, satu majlis mengikat reben telah diadakan pada malam kelmarin bagi ‘membangunkan’ singa sebagai persiapan menyambut Tahun Baharu Cina (TBC) akan datang.
Hadir menyaksikan acara itu ialah pengerusi persatuan yang baru dipilih, George Wong, diiringi oleh timbalan pengerusi, Agnes Hwong dan penyelia bahagian belia persatuan, Joseph Wong. Dalam majlis itu, ahli jawatankuasa kanan persatuan telah mengikat reben merah pada tanduk setiap satu daripada enam kostum singa, sebagai simbol keberanian dan kehormatan. Ia juga sebagai peringatan kepada singa untuk melakukan kebaikan sahaja.
Majlis anjuran Bahagian Belia persatuan itu bertujuan memastikan rombongan tarian singa persatuan mengadakan persembahan tarian singa dengan selamat. Persatuan itu juga menambah bahawa mereka akan membuat persembahan pada hari kedua dan keempat perayaan Tahun Baharu Cina di kediaman ahli jawatankuasa dan keluarga masing-masing bagi memeriahkan lagi suasana perayaan.