Wednesday, May 15, 2024
24 C
Brunei

    -

    Trend jumlah kes harian menurun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 semasa gelombang ketiga ini terus berada di tahap yang rendah walaupun jumlah kes harian semasa gelombang kali ini jauh lebih tinggi daripada jumlah kes semasa gelombang kedua.

    Dapatan tersebut adalah menurut graf yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku wakil Menteri Kesihatan semasa mengongsikan mengenai maklumat epidemiologi terkini mengenai COVID yang sedang berlaku di negara ini, pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, trend jumlah harian kes COVID-19 menunjukkan penurunan di mana Effective Reproduction Number (Rt) juga telah menurun daripada 0.95 seminggu yang lalu kepada 0.66 pada hari ini.

    “Pada gelombang ketiga ini, sebanyak 108 kes telah dimasukkan ke hospital dan dikategorikan dalam kategori 4 atau 5 di mana 60 daripadanya adalah disebabkan jangkitan COVID-19 iaitu 50 kes dalam kategori 4 dan 10 kes dalam Kategori 5,” kata beliau.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa setakat ini, tidak ada kes yang memerlukan bantuan mesin ECMO semasa gelombang ketiga ini. Sementara itu, 48 kes lain dalam kategori 4 atau 5 adalah mereka yang dimasukkan ke hospital kerana masalah-masalah kesihatan lain dan kebetulan dijangkiti pula oleh COVID-19.

    “Dengan hanya 0.05 peratus daripada keseluruhan kes dalam gelombang ketiga ini dikategorikan dalam kategori 4 dan 5, ini bermakna 99.95 peratus daripada kes hanya menghidap tanda-tanda jangkitan atau gejala yang ringan atau sederhana sahaja,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

    Beliau seterusnya menjelaskan, graf menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap pencegahan kesan jangkitan yang berterusan dalam kalangan orang-orang dewasa.

    “Bagi setiap 10,000 orang yang menerima tiga dos vaksin, 5.7 orang akan dikategorikan di dalam kategori 4 atau 5; bagi setiap 10,000 orang yang menerima dua dos vaksin pula, 13.7 orang akan dikategorikan dalam kategori 4 atau 5.

    “Bagi setiap 10,000 orang yang menerima satu dos vaksin, 36.6 orang akan dikategorikan dalam kategori 4 atau 5; manakala bagi setiap 10,000 orang tidak mendapatkan vaksin COVID-19 pula, 72.5 orang akan dikategorikan dalam kategori 4 atau 5,” kata Yang Berhormat Dato lagi.

    Gambar rajah tersebut menunjukkan lengkungan epidemik yang menurun.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hospital di India terima ancaman bom

    NEW DELHI, 14 MEI – Beberapa buah hospital di Ibu Kota India, Delhi hari ini menerima panggilan ancaman bom, memaksa pihak pentadbiran untuk menghubungi...