Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Buang pelitup muka dengan betul, elak pencemaran

    Oleh Nurdiyanah R.

    Seiring kita meredah arus cabaran COVID yang masih membelenggu dunia, menitikberatkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan jangkitan merupakan perkara utama yang ditekankan ketika ini seperti kerap membasuh tangan dengan sabun, menggunakan pensanitasi tangan, memakai pelitup muka dan tidak kurang juga budaya penjarakan sosial dalam kehidupan sehari-hari.

    Pastinya, ketika berbicara mengenai pemakaian pelitup muka tidak dinafikan rata-rata rakyat dan penduduk tanah air bersatu menanai tanggungjawab sosial masing-masing demi menyahut seruan kerajaan demi mencapai matlamat utama iaitu menjaga keselamatan bersama.

    Namun, tidak dapat disangkal juga sesetengah orang dilihat masih kurang menitikberatkan cara-cara pembuangan pelitup muka yang betul bahkan sehingga wujud tabiat membuang merata-rata tempat. Di mana letaknya etika kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar di bumi kita berpijak ini?

    Jangan buang sembarangan

    Realitinya, sesetengah orang seakan-akan merasa tidak bersalah melakukan pembuangan pelitup muka di jalan-jalan, kawasan letak kereta mahu pun di kerusi-kerusi awam dan sebagainya.

    Tindakan itu bukan hanya dianggap sebagai tabiat buruk, ia juga disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana meletakkan individu lain dalam situasi bahaya sehingga boleh mendedahkannya kepada sebarang jangkitan.

    Jika kita terus lalai melakukan pembuangan merata-rata maka tidak mustahil norma baharu dalam menjadikan pelitup muka pakai buang sebagai satu sampah baharu domestik sehingga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang tidak terkawal. – Agensi
    Lipat dan gulung pelitup muka supaya permukaan berwarna tidak terdedah dan juga agar ia tidak mudah ditiup angin, kemudian buang ke dalam tong sampah yang bertutup. – Agensi

    Apa yang perlu penulis tekankan di sini ialah jika kita terus lalai melakukan pembuangan merata-rata maka tidak mustahil norma baharu dalam menjadikan pelitup muka pakai buang sebagai satu sampah baharu domestik sehingga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang tidak terkawal.

    Pembuangan pelitup muka pakai buang yang tidak menentu pastinya bukan hanya mengancam kesihatan sesama manusia dari segi pencemaran kebersihan kawasan dan juga mengundang risiko jangkitan berlaku, malah hidupan lain turut menjadi mangsa.

    Semasa hendak membuang pelitup muka pakai buang, dinasihatkan untuk sentiasa memutuskan salah satu tali pengikat untuk memastikan pelitup muka yang dibuang tidak diguna semula atau dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lipat dan gulung pelitup muka supaya permukaan berwarna tidak terdedah dan juga agar ia tidak mudah ditiup angin. Kemudian buang ke dalam tong sampah yang bertutup.

    Dalam pada itu, tindakan membuang pelitup muka pakai buang di tempat-tempat yang bersesuaian dengan mencabut mahu pun memotong talinya terlebih dahulu juga disarankan bagi menyelamatkan risiko haiwan-haiwan terjerat di dalamnya sehingga boleh membawa kematian.

    Hampir 450 tahun untuk didegradasi

    Perlu diketahui secara umumnya, bahan utama pembuatan pelitup muka pakai buang ini adalah daripada bahan kimia polipropilena, selain getah sintetik. Selain itu, bahan utama pelitup muka terpakai turut mengandungi mikrofiber yang boleh menjadi penyumbang kepada pencemaran air, sekiranya resapan cecair sampah ini mengalir ke sungai dan laut.

    Manakala penggunaan logam sebagai pemegang di bahagian hidung pelitup muka juga akan menghasilkan pencemaran daripada jenis bahan logam berat seperti kadmium dan kromium yang turut meresap ke dalam air.

    Apa yang perlu kita fahami bahawa pelitup muka pakai buang mengandungi bahan mikrofiber maka dalam hal ini ia akan mengambil masa hampir 450 tahun untuk didegradasi secara semula jadi.

    Justeru itu, sewajarnya seluruh lapisan masyarakat mestilah sentiasa beringat-ingat sebelum terlambat bagi sama-sama berusaha dan bertindak mengatasi masalah ini dari semakin menjadi-jadi.

    Oleh yang demikian, usaha murni dan langkah-langkah efektif berkenaan memerlukan gandingan kerjasama kerajaan, institusi pengajian tinggi, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam demi sama-sama menanai amanah menjaga kesihatan dan memelihara alam sekitar sebagai antara nikmat sementara kurnia Illahi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...