Saturday, December 28, 2024
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesawat Osprey Rumah Putih AS terbakar, operasi dihentikan

    NEW YORK, 26 NOV — Sebuah pesawat Osprey yang digunakan untuk membawa kakitangan Rumah Putih Amerika Syarikat (AS) dan pegawai kerajaan dari satu acara di New York kelmarin, terpaksa dihentikan operasinya selepas timbul kebimbangan keselamatan, dengan seorang saksi melaporkan terlihat api di bawah enjin sebelah kanan pesawat itu.

    Kakitangan dan pegawai yang menaiki pesawat itu, sebahagian daripada armada helikopter presiden Marine Corps HMX-1, dipindahkan ke sebuah pesawat Osprey lain untuk meneruskan perjalanan mereka ke acara Friendsgiving bersama Presiden Joe Biden dan anggota Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) di Staten Island.

    Insiden itu hanya menyebabkan kelewatan kecil dalam perjalanan Biden kembali ke Washington, semalam.

    Kejadian itu berlaku pada hari sama beberapa penggubal undang-undang menghantar surat kepada Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, menggesa agar seluruh armada pesawat V-22 Osprey milik tentera digantung operasi sehingga penyelesaian dapat dilaksanakan untuk menangani isu keselamatan dan reka bentuk yang dikenal pasti melalui siasatan mendalam Associated Press terhadap rekod kemalangan pesawat berkenaan.

    Marine Corps tidak segera memberikan kenyataan mengenai insiden itu. Seorang wartawan yang mengiringi presiden melaporkan terlihat api di bawah enjin sebelah kanan tidak lama sebelum kakitangan diberitahu bahawa pesawat tersebut akan dihentikan operasinya.

    Ia bukan kali pertama kebimbangan keselamatan memaksa kakitangan Rumah Putih atau wartawan dipindahkan dari pesawat Osprey.

    Pada November 2023, sebuah Osprey yang membawa wartawan dan kakitangan Rumah Putih terpaksa kembali mendarat tidak lama selepas berlepas apabila empat bunyi letupan kuat kedengaran dan asap kelihatan.

    Dalam surat yang dihantar kepada Austin kelmarin, Senator Elizabeth Warren dan Ed Markey serta Wakil Richard Neal, kesemuanya dari Parti Demokrat Massachusetts, menyatakan, “berdasarkan kebimbangan semasa mengenai keselamatan V-22, pesawat itu wajar digantung operasinya dan tidak digunakan semula sehingga semua kekurangan platform ini dapat diatasi sepenuhnya.” – AP

    Sebuah pesawat tilt-rotor Osprey yang membawa Naib Presiden AS, Kamala Harris, bersama suaminya, Doug Emhoff, berlepas dari Soldier Field di Chicago, pada 23 Ogos. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda