PALU, 10 JULAI – Lebih ramai penyelamat dikerahkan untuk mencari mangsa yang terperangkap di kawasan tanah runtuh di sebuah lombong emas tanpa kebenaran di Pulau Sulawesi, Indonesia, hari ini, yang telah meragut 23 nyawa setakat minggu lalu.
Lebih 100 penduduk kampung sedang mencari bijih emas Ahad lalu di sebuah perkampungan terpencil dan berbukit di Bone Bolango di wilayah Gorontalo, apabila lumpur melungsur ke bawah bukit dan menimbus kem sementara mereka.
Jabatan Mencari dan Menyelamat wilayah berkata 81 penduduk kampung berjaya menyelamatkan diri daripada tanah runtuh itu. Sebahagian daripada mereka ditarik keluar oleh penyelamat, termasuk 18 yang cedera.
Sehingga setakat ini, 23 mayat telah ditemui, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, manakala 33 lagi masih hilang.
Lebih daripada 1,000 orang anggota, termasuk tentera, dikerahkan untuk mempertingkatkan lagi usaha mencari dan menyelamat, kata Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Edy Prakoso.
Beliau berkata Tentera Udara Indonesia menghantar sebuah helikopter kerana ia satu-satunya cara mempercepatkan operasi menyelamat yang tergendala oleh hujan lebat, keadaan tanah tidak stabil dan bentuk muka bumi lasak. – AFP
