Wednesday, October 23, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Varian mpox baharu dikesan di Jerman

    BERLIN, 22 OKT – Jangkitan varian mpox baharu, clade 1b telah dikesan di Jerman buat kali pertama, kata pihak berkuasa kesihatan Institut, Robert Koch hari ini.

    Jangkitan itu berlaku di luar negara dan dikesan pada Jumaat lalu, menurut institut itu, sambil menambah bahawa ia tidak melihat peningkatan risiko untuk Jerman tetapi
    sedang memantau ketat keadaan tersebut.

    Mpox, penyakit virus yang berkaitan dengan cacar yang menyebabkan demam, sakit badan, nodus limfa yang bengkak dan ruam yang membentuk lepuh, mempunyai dua jenis utama iaitu clade 1 dan clade 2.

    Sejak Mei 2022, clade 2 telah merebak ke seluruh dunia, kebanyakannya di Eropah dan Amerika Syarikat.

    Pada Julai 2022, Petubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa, tahap amaran tertinggi terhadap penyebarannya.

    Vaksinasi dan kempen kesedaran di banyak negara telah membantu membendung jumlah kes di seluruh dunia dan WHO menarik balik kecemasan pada Mei 2023 selepas melaporkan 140 kematian daripada kira-kira 87,400 kes.

    Tetapi tahun ini, wabak baharu telah meletus semula di Republik Demokratik Congo (DRC).

    Selain clade 1, yang terutamanya menjejas kanak-kanak, satu strain baharu muncul di DRC, yang dipanggil clade 1b.

    Kes Clade 1b juga telah direkodkan di Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda yang berdekatan di mana tiada satu pun negara yang pernah mengesan mpox sebelum ini. WHO mengisytiharkan satu lagi kecemasan antarabangsa pada bulan Ogos. – AFP

    Seorang pekerja kesihatan merawat pesakit mpox, di pusat rawatan di Munigi, timur Congo pada 19 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda