Friday, December 20, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vietnam pamer bekalan senjata pertahanan baharu

    HANOI, 19 DIS – Syarikat terkenal senjata dari Amerika Syarikat (AS) seperti Boeing dan Lockheed Martin, bersama Airbus dari Eropah dan firma China, mempamerkan produk mereka semasa pameran senjata di Hanoi hari ini, ketika Vietnam berusaha untuk mempelbagaikan bekalan pertahanan daripada bergantung sepenuhnya kepada Rusia.

    Sebuah pesawat serangan A-10 Thunderbolt dan pengangkutan C-130 Super Hercules milik Tentera Udara AS dipamerkan di lapangan terbang tentera Gia Lam, Hanoi, sebagai sebahagian daripada acara tersebut.

    Pameran pertahanan itu menarik ribuan pengunjung, termasuk ratusan tentera Vietnam berpakaian seragam, sebahagian daripadanya mengambil peluang bergambar bersama anggota tentera AS, menjelang ulang tahun ke-50 penamatan perang Vietnam tahun depan.

    Buat pertama kalinya, pameran itu juga melibatkan firma China, termasuk Norinco (China North Industries Corporation), konglomerat pertahanan milik kerajaan.

    Kerajaan Vietnam banyak bergantung pada senjata yang dibekalkan oleh Rusia selama beberapa dekad, dengan lebih 80 peratus import dilaksanakan dari tahun 1995 hingga 2023, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

    Namun, import dari Rusia telah berkura-ngan dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat sekatan antarabangsa susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Boeing dan Lockheed Martin adalah antara 14 syarikat AS yang turut seta bersama dua pempamer dari China serta peserta dari Jerman, Iran, Israel, Ukraine dan Rusia.

    Produk yang dipamerkan termasuk pesawat, kereta kebal, peluru berpandu, dron, senjata api dan sistem radar. Beberapa syarikat tempatan Vietnam juga mengambil bahagian.

    Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, dalam ucapannya semasa majlis perasmian, menggambarkan pameran itu sebagai “menyampaikan mesej keamanan, kerjasama dan pembangunan bersama”. – AFP

    Pegawai tentera Vietnam melihat pelancaran peluru berpandu antipesawat S-125-2TM dan peluru semasa Ekspo Pertahanan Antarabangsa Vietnam 2024 di Hanoi kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda