Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warisi budaya kopi jalanan Starlings

    JAKARTA, INDONESIA – Basikal-basikal kelihatan sesak di jalanan ibu kota Indonesia dengan berpuluh-puluh uncang plastik kopi dan minuman bungkus lain tergantung di hendalnya.

    Diikat di belakang adalah botol termos besar dengan air panas, kotak ais dan peralatan untuk membuat kopi.

    Penjual kopi basikal dikenali sebagai Starlings, singkatan daripada Starbucks Keliling, atau Starbucks mudah alih, walaupun mereka tidak mempunyai hubungan dengan syarikat kopi global gergasi itu.

    Mereka menjual kopi di kaki lima, di taman dan di tapak pembinaan. Dari subuh hingga tengah malam, Starlings sentiasa ada, menjadikannya salah satu pembekal kopi paling popular di negara itu.

    Starbucks Indonesia tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai penggunaan namanya.

    Penjual kopi Starlings menunggang basikal di Jakarta, Indonesia. – AP
    Sander melayan seorang pelanggan di Jakarta, Indonesia. – AP
    Sander menyediakan kopi segera untuk seorang pelanggan. – AP

    Indonesia, pengeluar kopi ketiga terbesar di dunia, mempunyai budaya kopi yang tidak seragam, dengan pelanggan yang lebih kaya membeli minuman mereka dari kedai kopi kelas mewah dan penduduk miskin membeli kopi segera daripada Starlings dengan harga kurang daripada separuh harga.

    Secara keseluruhan, 79 peratus rakyat Indonesia adalah peminum kopi, dan kebanyakannya mempunyai sekurang-kurangnya satu cawan sehari, menurut Snapcart, sebuah agensi penyelidikan Indonesia.

    Dari bilik kecilnya di sebuah penempatan yang dikenali sebagai Kampung Starling disebabkan jumlah penunggang Starlings yang ramai tinggal di situ, Syaiful, seorang pembekal kopi, boleh menjual lebih 1,000 uncang kopi dan minuman berbungkus lain setiap hari kepada ratusan penunggang Starlings.

    Meneruskan legasi bapanya, dia juga membekalkan penjual dengan basikal dan peralatan.

    Seorang penjual, Sander berusia 50 tahun dari Jawa Timur, telah menjual minuman selama satu dekad. Dia telah menyaksikan bagaimana budaya kopi Jakarta telah berkembang dengan penjual mudah alih menggantikan kiosk tradisional. Meskipun persaingan sengit, Sander menjual kira-kira 65 cawan minuman sehari, memperoleh 4,000 rupiah (AS$0.25) setiap cawan.

    Menjadi penjual kopi Starlings hanya memerlukan sedikit wang untuk membeli kopi segera dan menyewa basikal serta peralatan lain. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda