ADDIS ABABA, 22 APRIL – Program Makanan Sedunia (WFP) berkata hari ini mereka terpaksa menghentikan bantuan untuk 650,000 wanita dan kanak-kanak yang kekurangan
zat makanan di Etiopia akibat kekurangan dana.
Agensi PBB itu telah mengingatkan mereka merupakan antara 3.6 juta orang di Etiopia yang tidak lagi akan menerima bantuan makanan dalam beberapa minggu akan datang kerana agensi itu tidak mempunyai perbelanjaan baharu.
“WFP terpaksa menghentikan rawatan untuk 650,000 wanita dan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan pada bulan Mei akibat kekurangan dana,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, “WFP telah merancang untuk mencapai 2 juta ibu dan kanak-kanak dengan bantuan nutrisi yang menyelamatkan nyawa pada tahun 2025.”
WFP adalah salah satu agensi yang telah terkesan dengan pemotongan dana Presiden AS, Donald Trump, yang menandatangani perintah eksekutif bagi membekukan semua bantuan luar negara selama tiga bulan sejurus selepas pelantikannya pada Januari.
Menurut agensi PBB, lebih daripada 10 juta penduduk di negara Afrika Timur itu kini berdepan dengan krisis kebuluran, dalam kalangan populasi keseluruhan yang dianggarkan berjumlah sekitar 130 juta orang.
Etiopia masih pulih daripada perang saudara yang teruk antara pasukan persekutuan dan pemberontak di wilayah utara Tigray pada November 2020 yang mengorbankan kira-kira 600,000 orang individu di negara tersebut. – AFP
