Saturday, December 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yoon pertahan undang-undang tentera, tolak dakwaan lakukan pemberontakan

    SEOUL, 13 DIS – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, kelmarin telah mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera yang kontroversi sebagai tindakan pentadbiran dan menafikan tuduhan pemberontakan terhadapnya, sambil berikrar untuk berjuang hingga ke saat akhir sama ada berkaitan pendakwaan atau siasatan terhadap pengisytiharan itu.

    Dalam ucapan awam yang disiarkan secara langsung, Yoon berkata penghantaran tentera ke Parlimen semasa penguatkuasaan undang-undang tentera bukan satu bentuk pemberontakan, sekali gus menolak desakan untuk meletak jawatan, lapor agensi berita Yonhap.

    Yoon berkata beliau menggunakan kuasa presiden untuk mengisytiharkan undang-undang tentera bagi ‘melindungi negara dan menormalkan pentadbiran negara’ berdepan pembangkang yang melumpuhkan kerajaan, dengan menyifatkan langkah itu sebagai ‘keputusan politik yang sangat berhati-hati.’

    “Sama ada saya didakwa atau disiasat, saya akan menghadapi semuanya secara adil,” katanya.

    Yoon mendakwa pihak pembangkang menyekat pentadbiran kerajaan melalui usaha pendakwaan dan pemotongan belanjawan penting yang dirancang untuk tahun depan, sambil menyifatkannya sebagai ‘tarian pedang yang penuh kegilaan.’

    Selepas pengisytiharan undang-undang tentera, Parlimen meluluskan belanjawan tahun depan berjumlah AS$471.5 bilion seperti yang diubah oleh parti pembangkang utama, selain usul pendakwaan terhadap ketua juruaudit negara dan pendakwa raya meskipun ditentang Parti Kuasa Rakyat (PPP). – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda