Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zaki Yamani simpati nasib pelajar dibuli

    Rakaman video memperlihatkan seorang pelajar lelaki menjadi mangsa buli di sebuah sekolah asrama menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

    Aksi kekerasan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang turut terkesan dengan kelakuan tidak bermoral berkenaan.

    Ini termasuklah penyanyi Zaki Yamani, 15, yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan berpendapat sebarang perselisihan faham haruslah diselesaikan secara berhemah.

    “Saya tengok video tular itu. Sejujurnya saya kasihan dengan mangsa sebab dia nampak terlalu takut semasa berdepan situasi itu kerana ramai orang di sekelilingnya.

    “Saya tak boleh fikir kenapa sampai nak kena buli macam tu, memang tak patut, rasanya kalau ada yang tak puas hati lebih baik duduk berbincang, tak perlu sampai lakukan kekerasan.

    Zaki Yamani tidak bersetuju dengan tindakan kekerasan dan berpendapat sebarang perselisihan faham haruslah diselesaikan secara berhemah. -Agensi

    “Mungkin mereka tak fikir perlakuan buli itu boleh memberi kesan berpanjangan, bukan sahaja kepada mangsa tapi termasuklah kaki buli,” katanya kepada mStar.

    Zaki berkongsi pandangannya itu semasa sambutan ulang tahun kelahirannya ke-15 yang diadakan di Ngopi Dulu Yop, N9 Food Court, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

    Pada 11 Disember, media melaporkan seramai 10 orang pelajar ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

    Selepas video seorang pelajar lelaki ditumbuk rakan sebayanya tular di media sosial.

    Dalam pada itu, anak kepada penyanyi Datuk Jamal Abdillah ini mengakui pernah menjadi mangsa buli ketika berada di sekolah rendah beberapa tahun lalu.

    Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, penyanyi lagu Slow Mo ini berkata dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol apabila memasuki sekolah menengah.

    “Dulu masa sekolah rendah pernah dibuli tapi sekarang dah tak ada lagi. Setakat ini di sekolah saya tak banyak cakap, saya lebih selesa diamkan diri kerana tak mahu terlalu menonjol sangat.

    “Sejujurnya saya tak ramai kawan di sekolah sebab lebih suka menyendiri. Tapi kalau ada apa-apa yang tak puas hati, lebih baik kita cakap dan selesaikan baik-baik.

    “Tak perlulah sampai nak buli atau naik tangan! Jadikan zaman sekolah ini sebagai satu kenangan yang baik untuk kita semua,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda