Pelakon Malaysia, Zulkifli Ismail terpaksa ditahan di Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia sejak Isnin susulan mengalami masalah pernafasan ketika tidur.
Lebih membimbangkan kata Zulkifli, 61, pernafasannya juga pernah terhenti beberapa kali semasa dia sedang tidur nyenyak.
Disebabkan perkara itu, Zulkifli memberitahu dia ‘menyerah’ diri ke hospital bagi mengetahui punca sebenar masalah dihadapi dan selesai menjalani rawatan dikenali sebagai sleep studies.
“Doktor melakukan sleep studies sebab saya sering mengalami gangguan pernafasan ketika tidur atau dipanggil sleep apnea.
“Ini termasuklah nafas terhenti beberapa kali sepanjang malam ketika tidur,” katanya.
Menurut mStar, Zulkifli berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya kelmarin.
Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu ujian sleep studies dilakukan bagi mengenal pasti beberapa perkara dihidapi ketika tidur.
Itu kerana dia sudah agak lama mengalami masalah gangguan tidur seperti berdengkur selain cepat berasa mengah ketika bercakap.
“Nafas saya juga menjadi laju sampai orang lain boleh mendengar bunyinya. Kalau bercakap pula macam termengah-mengah.
“Pernah ketika penggambaran, juru audio pernah cakap suara saya kedengaran termengah-mengah seperti ada tidak kena dengan pernafasan saya,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli memberitahu dia sudah pun dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai menjalani pemeriksaan sleep studies.
Bagaimanapun dia perlu kembali ke hospital untuk mengetahui keputusan ujian tersebut dan memberitahu keadaannya kini tidak membimbangkan. – Agensi