NEW DELHI, 28 NOV – Sekurang-kurangnya seorang maut dan 20 lagi jatuh sakit selepas dipercayai terhidu gas beracun di sebuah kilang farmasi di negeri Andhra Pradesh, selatan India, menurut pegawai kelmarin.
Kejadian itu berlaku di Anakapalli di Visakhapatnam, bandar terbesar di Andhra Pradesh.
Menurut pegawai, kakitangan di dalam kilang itu terhidu campuran asid hidroklorik (HCL) dan klorofom yang disyaki terjatuh di atas lantai lalu menyebabkan mereka mengalami masalah pernafasan.
Media tempatan melaporkan pengurusan syarikat itu tidak memberi amaran kepada pekerja yang terlibat dalam kerja pembersihan mengenai bahaya terhidu gas beracun berkenaan.
Polis telah membuka kertas siasatan dan mengarahkan siasatan lanjut mengenai kejadian itu. – Bernama