Lebih 1,500 koleksi peribadi vokalis kumpulan rock legenda, Queen, Freddie Mercury seperti pakaian, objek unik dan draf lirik yang tidak pernah dipamerkan bakal dilelong, tahun ini.
Menurut laporan platform jualan lelong, Sotheby’s, kebanyakan koleksi masih tersimpan kemas dan tidak pernah disentuh di kediaman Mercury di barat London dalam tempoh tiga dekad sejak pemergiannya.
Pameran secara terbuka akan berlangsung di London selama sebulan mulai 4 Ogos depan.
Barangan seperti pakaian, lukisan dan barangan harian Mercury akan dilelong dalam enam acara lelongan di London yang dianggarkan berjumlah 6 juta euro (RM29.5 juta).
Menerusi laporan portal CNN, koleksi barangan peribadi itu akan dijual oleh rakan baiknya, Mary Austin yang selama ini bertanggungjawab menjaga barangan yang tersimpan kemas di Garden Lodge, Kensington sejak pemergian Mercury pada 1991.
“Saya gembira dan ia tentunya satu kelebihan hidup dikelilingi semua perkara indah yang digemari oleh Mercury.
“Bertahun sudah berlalu dan sudah masanya untuk saya mengambil keputusan amat sukar untuk menutup lembaran istimewa dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sotheby’s.
Austin menyifatkan Mercury sebagai seorang pengumpul yang hebat dan bijak kerana menghargai nilai barangan yang ditemui dan proses itu bagi meraikan keunikan serta semangat penyanyi itu.
Koleksi bakal dilelong termasuklah replika mahkota St Edward’s yang digunakan oleh Raja Charles III pada pertabalan dan pernah dipakai Mercury atau nama sebenarnya, Farrokh Bulsara itu dalam persembahannya pada 1980.
Ia termasuk jubah diperbuat daripada bulu tiruan, baldu merah dan batu permata yang direka oleh rakan Mercury, Diana Moseley. – Agensi