AMMAN, 17 JUN – Sekurang-kurangnya 19 jemaah haji warga Jordan dan Iran meninggal dunia ketika menunaikan haji di Arab Saudi, kata pihak berkuasa dari negara mereka semalam.
“Empat belas jemaah haji Jordan meninggal dunia dan 17 yang lain hilang semasa melaksanakan ibadah haji,” kata Kementerian Luar Jordan dalam satu kenyataan.
Kementerian kemudiannya mengesahkan 14 mereka telah meninggal dunia ‘selepas mengalami strok matahari akibat gelombang haba yang melampau’.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koolivand secara berasingan berkata ‘lima jemaah haji Iran telah kehilangan nyawa mereka setakat ini di Mekah dan Madinah semasa haji tahun ini’, tanpa memberitahu punca kematian mereka.
Ibadah haji, salah satu perhimpunan agama terbesar di dunia, adalah salah satu daripada lima rukun Islam dan semua umat Islam yang berkemampuan wajib menunaikannya sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Suhu telah mencecah lebih daripada 40 darjah Celsius semasa ibadah haji tahunan yang disertai kira-kira 1.8 juta umat Islam tahun ini.
Kebanyakan ritual dilakukan di luar bangunan dan jemaah perlu berjalan kaki, sekali gus menimbulkan cabaran terutamanya dalam kalangan warga emas.
Arab Saudi tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kematian.
Namun negara itu telah melaksanakan langkah-langkah pengurangan haba, termasuk kawasan terkawal iklim. Ia mengagihkan air dan menawarkan nasihat kepada jemaah haji tentang cara-cara melindungi diri mereka daripada cuaca panas matahari. – AFP