Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Dengan kemahiran mengatur strategi dalam catur, Awangku Hariri bin Pengiran Hira, telah diumumkan sebagai juara dalam Pertandingan Kelab Catur Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang diadakan di sekolah berkenan kelmarin.
Hadir menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada 20 murid yang menyahut cabaran dalam pertandingan berkenaan adalah Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Haji Ladi.
Antara lain tujuan pertandingan diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang permainan catur di samping melatih kemahiran berfikir kreatif serta memotivasikan pelajar untuk bermain catur.
Pertandingan yang julung kalinya dianjurkan bersama pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu diharap dapat mengeratkan hubungan antara PIBG dan pihak sekolah.
Pertandingan tersebut dipimpin oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Mohammad Khoirunnazhiim bin Mohd Daud dan Pengiran Hira bin Pengiran Haji Mohd Omar.