Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Dalam usaha memberi keceriaan kepada anak-anak yatim agar tidak merasa terpinggir, Projek Santunan Kasih Berserumpun Pencinta Yatim hari ini telah menyampaikan sumbangan kepada 30 orang anak-anak yatim Kampung Panchor di bawah tadahan Kawasan 4.
Majlis penyampaian sumbangan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor (Mengkubau), Mukim Mentiri itu diadakan di Dewan Mufakat Peladang, Simpang 994, Kampung Tanah Jambu.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada penerima, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.
Dengan adanya sumbangan seumpama ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada ibu bapa, selain berpeluang berbagi rezeki terutama anak-anak yatim khusus Kawasan 4.
Antara sumbangan yang diberikan kepada anak-anak yatim berupa barang keperluan sekolah seperti beg sekolah, buku latihan, alat-alat tulis dan sebagainya.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil-sijil lantikan MPK Berserumpun RPN Kampung Panchor Kawasan 4, Mukim Mentiri sesi 2024-2028.
Sumbangan tersebut adalah sumbangan daripada para dermawan yang prihatin terhadap kebajikan pendidikan anak-anak yatim. Turut hadir di majlis itu, Ketua Kampung Kawasan 4, RPN Kampung Panchor Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad.