Wednesday, January 8, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 tamat Kursus Maktab Turus ABDB

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Tindak balas strategik, holistik dan rentas tonggak amat diperlukan untuk mengurangkan cabaran keselamatan yang menjejaskan agenda pembangunan, keamanan, kemakmuran dan kestabilan rantau.

    Selain itu, dasar pertahanan juga memainkan peranan penting ke arah membina keupayaan ketenteraan yang berkesan untuk memenuhi keperluan operasi dalam mendukung pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh negara seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam ucapannya di Majlis Penutup Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-13 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB (DA ABDB), hari ini.

    Beliau juga meletakkan kepentingan Kursus Maktab Turus (CSC) dalam melengkapi graduan dengan ilmu pengetahuan ketenteraan, kemahiran operasi dan cerapan keselamatan bagi meningkatkan kemahiran mereka setelah memikul jawatan yang lebih tinggi.

    CSC seterusnya, ulas beliau, berfungsi sebagai salu-ran untuk perkongsian ilmu pengetahuan, perkembangan profesional dan peningkatan diplomasi pertahanan dengan adanya penyertaan 16 orang pegawai tentera asing dari 14 buah negara.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, timbalan pesuruhjaya polis, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, penolong naib-canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), pemangku-pemangku pemerintah angkatan tentera, pemangku pemerintah Angkatan Bersama, timbalan setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, ketua-ketua perwakilan negara luar, perwakilan dari kedutaan luar negara di Negara Brunei Darussalam, penasihat-penasihat dan atase pertahanan yang menetap dan tidak menetap di Brunei, para pengarah, komandan, ahli-ahli fakulti dari UBD dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Yang Berhormat Pehin kemudian menyempurnakan penyampaian sijil kepada seramai 35 peserta CSC ABDB ke-13 yang terdiri daripada pegawai ABDB dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta 16 peserta antarabangsa dari Australia, Bangladesh, India, Indonesia, Kerajaan Hasyimiah Jordan, Korea, Malaysia, Kesultanan Oman, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

    Pada majlis itu, empat anugerah pengiktirafan telah diberikan dengan Anugerah CSC Overall Excellence telah diberikan kepada Mejar Andrew Keith dari Tentera Udara Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Kedua-dua anugerah iaitu Anugerah RBAF Commendation yang disampaikan oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi dan Anugerah Academic Excellence yang disampaikan oleh Penolong Naib Canselor UBD, Profesor Dr Mohammad Ayub Sadiq telah diterima oleh Mejar Ernest Chin Jin Hao dari Tentera Udara Singapura serta Anugerah Komandan telah diberikan kepada Leftenan Komander Mohd Hydzir Zuhdi bin Haji Sulaiman, TLDB yang disampaikan oleh Komandan Akademi Pertahanan ABDB, Kolonel Pengiran Sharifuddin bin Pengiran Haji Yusof.

    Para peserta yang lulus akan diberikan post-nominal passed staff college (joint) dari DA
    ABDB dan kelulusan Graduate Diploma in Defence and Security Studies dari UBD serta berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Defence and Security Studies di UBD.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menghadiri Majlis Penutup CSC ABDB ke-13 yang berlangsung di DA ABDB, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan Anugerah CSC Overall Excellence kepada Mejar Andrew Keith. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sijil kepada peserta yang menamatkan CSC ABDB ke-13. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Kolonel Pengiran Sharifuddin menyampaikan Anugerah Komandan kepada Leftenan Komander Mohd Hydzir Zuhdi. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi menyampaikan Anugerah RBAF Commendation kepada Mejar Ernest Chin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Profesor Dr Mohammad Ayub Sadiq menyampaikan Anugerah Academic Excellence kepada Mejar Ernest Chin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda