Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Seramai 38 peserta terdiri daripada penuntut-penuntut yang menunggu keputusan peperiksaan Peringkat ‘O’ dari keempat-empat daerah yang telah menyertai Kem Asuhan Minda Belia dari 21 Januari hingga hari ini, menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, hari ini.
Kem Asuhan Minda Belia kali kedua, 2025, diadakan setelah hasil daripada kaji selidik yang dibuat pada tahun lepas di mana kebanyakan peserta memberi respon yang baik dan kem tersebut juga memberi keyakinan diri peserta untuk bersuara di khalayak ramai.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Pegawai Belia dan Sukan (Belia), Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman yang seterusnya menyampaikan sijil kepada peserta kem.
Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta para ibu bapa peserta.
Antara lain tujuan kem itu diadakan adalah bagi mengisi masa lapang belia khususnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Peringkat ‘O’.
Di samping itu, ia juga memberi peluang berinteraksi melalui aktiviti jati diri, alam sekitar, kerohanian dan kepimpinan, seterusnya berkongsi peluang melalui perbincangan dan pembentangan kajian di luar sekolah sebagai salah satu cara pembelajaran informal.
Peserta kem juga berpeluang mengetahui dan mempelajari lagi cara hidup keBruneian melalui percakapan, bahasa dan sebagainya, seterusnya menanamkan sikap saling bantu-membantu dan tolong-menolong dalam mengendalikan sesuatu aktiviti atau cabaran yang akan dilalui.
Kem berkenaan diisi dengan pelbagai aktiviti iaitu sembahyang berjemaah dan membaca Surah Yaasin, kuliah/ceramah Maghrib dan Subuh, sesi suaikenal dan membuat nama kumpulan dan bendera, kerja dan perbincangan kumpulan dan berpasukan dan pembentangan aktiviti yang telah dijalankan.
Selain sesi taklimat mengenai Jabatan Belia dan Sukan, Dasar Belia Negara dan Strategi serta aplikasi Mengalingga, program kem berkenaan turut diselitkan dengan kerja sukarela dan membuat amal iaitu membersihkan tanah perkuburan orang-orang Islam bagi peserta lelaki dan memasak bubur kacang yang kemudiannya dihantar ke masjid yang berdekatan untuk disedekahkan.
Selain itu, kembara malam iaitu menerokai Bandar Seri Begawan di waktu malam sambil membuat aktiviti kepimpinan, Kenali Bandar Kitani di mana setiap kumpulan akan membuat lawatan ke bangunan lama yang ada di Bandar Seri Begawan dan mengetahui sejarah mengenainya, dan lain-lain.
JBS berharap dengan pengajuran kem itu peserta akan menjadi proaktif, berinisiatif dan kreatif serta berani menyuarakan pendapat seterusnya dapat membentuk rangkaian persahabatan secara informal dan menjadi agen perubahan kebaikan kepada sekolah masing-masing.
Peserta juga diharap menjadi lebih bertanggungjawab dan berdikari serta menggunakan masa dengan membuat aktiviti yang berfaedah.