PHNOM PENH, 18 JUN – Kemboja menahan sebuah kumpulan yang dianggotai oleh sembilan orang kerana memproses dan mengedar dadah terlarang, merampas lebih 60 kilogram (kg) dadah, kata Jabatan Anti Dadah (ADP) dalam satu kenyataan berita hari ini.
Suspek terdiri daripada lapan warga asing dan seorang warga Kemboja, berumur antara 23 dan 53 tahun, kata ADP, sambil menambah bahawa dua daripada mereka adalah wanita.
Kesemuanya ditahan pada tengah malam Sabtu semasa serbuan di tiga lokasi di bandar pantai barat daya Sihanoukville selepas siasatan menyeluruh, kata ADP.
“Sebanyak 60.1kg ekstasi, methamphetamine kristal dan ketamin telah dirampas daripada pemilik semasa operasi pencegahan itu,” kata ADP.
Polis turut merampas 52.8kg bahan kimia, dua pucuk pistol, lima buah kereta, 11 buah telefon, satu set komputer tablet, dan wang tunai serta barang kemas semasa serbuan itu, tambah ADP.
Negara Asia Tenggara itu tidak melaksanakan hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undangnya, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dipenjarakan seumur hidup. – Xinhua