KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Halangan sebenar beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di Sukan Olimpik Paris 2024 adalah apabila bakal berdepan tiga pasangan terbaik dunia di separuh akhir.
Legenda badminton Malaysia, Datuk Razif Sidek, berkata kemenangan di separuh akhir sekali gus melangkah ke final, memberikan bayangan kemungkinan besar Malaysia akan menamatkan penantian pingat emas pertama di temasya berprestij itu.
Bagi Razif, beregu Malaysia yang menghuni ranking keempat dunia itu tidak menghadapi masalah melepasi saingan peringkat Kumpulan A walaupun pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dijangka menjadi halangan terbesar mereka.
“Pada pandangan saya, mereka pasangan tunggal yang boleh bawa pingat untuk negara.
“Saya lihat laluan mereka ke suku akhir tiada masalah. Jika tiada halangan saya rasa Aaron-Wooi Yik boleh bawa balik emas namun ia bergantung kepada keputusan di separuh akhir,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Razif, jika juara dunia 2022 itu berjaya menempah tiket separuh akhir, selain Wei Keng-Wang Chang, dua lagi beregu di ranking utama dunia perlu ‘diredah’ iaitu Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (Indonesia) sebelum berada dalam pertarungan sebenar perburuan pingat emas.
Turunnya keempat-empat pasangan itu di gelanggang Porte de la Chapelle Arena, pastinya akan menghangatkan lagi aksi separuh akhir acara badminton di Paris 2024.
Berdasarkan rekod pasangan negara, Aaron-Wooi Yik pernah mencatat dua kemenangan berdepan wakil China, menang lapan daripada 11 pertemuan dengan Satwiksairaj-Chirag dan empat kemenangan daripada lapan perlawanan berdepan Fajar-Muhammad Rian. – Bernama