Thursday, November 28, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aguero tekad raih tempat dalam skuad Harimau Malaya

    SEPANG, 13 NOV – Penyerang naturalisasi Malaysia, Sergio Aguero tekad memastikan dirinya mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya menjelang saingan pada Kejohanan ASEAN 2024 bulan depan.

    Pemain Sri Pahang FC itu meluahkan rasa bangga dan terujanya ketika mewakili Malaysia dua tahun lepas yang menyaksikan pasukan Malaysia mara ke separuh akhir dengan beliau turut menjaringkan dua gol.

    “Saya sentiasa berharap untuk berada bersama skuad. Saya akan cuba memberikan yang terbaik buat skuad kebangsaan dan juga untuk disenaraikan ke Kejohanan ASEAN 2024.

    “Saya sangat berharap untuk dipanggil kerana dalam edisi lepas, saya berpeluang bermain dan rasa sangat gembira,” kata penyerang berusia 30 tahun itu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pasukan kebangsaan berlepas ke Bangkok, Thailand hari ini.

    Pasukan kebangsaan di bawah kendalian Pau Marti Vicente dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok esok sebelum berdepan India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, 18 November.

    Selepas tewas dalam dua perlawanan persahabatan bulan lepas, Aguero bersemangat untuk membantu Malaysia bangkit dengan matlamat memperbaiki ranking pasukan dan membawa kegembiraan kepada penyokong.

    “Kami mahu meraih enam mata dan saya harap dapat melakukannya dan menceriakan peminat. Pasukan berada dalam keadaan bagus dan pemain terbaik sentiasa dipanggil, tentunya pemain lain seperti Romel (Morales) yang cedera akan dirindui, tetapi ada pemain lain yang bersedia menggantikannya,” katanya.

    Aguero yang telah membuat 10 penampilan untuk Malaysia, kali pertama beraksi pada Disember 2022 dalam kemenangan 4-0 ke atas Kemboja, tetapi terlepas pemilihan untuk Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, awal tahun ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda