Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ali XPDC stabil, tapi tidak boleh menyanyi agresif seperti dulu

    Penyanyi Malaysia, Ali XPDC, 56, berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami paru-paru berair dan jantung bengkak yang masih memerlukan pemantauan doktor di Hospital Cyberjaya.

    Isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, dihubungi berkata, keadaan Ali pada hari ketiga berada di hospital untuk rawatan menunjukkan perubahan amat positif dan semakin sihat.

    “Alhamdulillah, keadaan abang Ali sekarang sudah semakin sihat. Doktor dah beri ubat sebab abang Ali, paru-paru dia berair dan jantung juga bengkak. Setakat ini, ubat semua dah berikan kepadanya.

    “Syukur kepada Allah, memang dah nampaklah perubahan kesihatan abang Ali. Dari hari pertama dimasukkan ke hospital hingga hari ini adalah hari ketiga, Alhamdulillah makin sihat dan masih dalam pemantauan doktor,” katanya kepada Harian Metro.

    Terdahulu, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail dilaporkan dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Cyberjaya pada petang Isnin lalu selepas mengalami sesak nafas.

    Ali sudah stabil tapi masih memerlukan pemantauan doktor. – Harian Metro

    Ditanya juga mengenai tawaran menyanyi yang sudah diterima, Sharifah Azuwanna berkata, suaminya masih boleh menyanyi lagi, tapi hanya mampu menyampaikan antara dua atau tiga lagu saja.

    “Insya Allah, abang Ali masih boleh menyanyi lagi, tapi sudah tidak agresif seperti dulu. Dia tidak boleh dah kalau nak menyanyi 20 lagu atau terbabit persembahan konsert besar.

    “Tapi, kalau menyanyi dua atau tiga lagu masih boleh. Cuma, tak boleh beri tekanan kepada abang Ali sekarang sebab jantung dia masih bengkak dan doktor beritahu ambil masa untuk pulih,” katanya.

    Menurut Sharifah Azuwanna, dia bagaimanapun memohon doa ramai agar suaminya mendapat kesembuhan sakit dialami pulih dan kembali sihat kerana ada beberapa tawaran menyanyi sudah diterima.

    Ali sebelum ini dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 10 Julai lalu akibat masalah sesak nafas. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda