LAHORE, 9 JAN – Dua remaja perempuan di Pakistan ditahan atas tuduhan membunuh bapa mereka dengan membakarnya sebagai tindakan balas dendam terhadap dakwaan rogol, menurut pihak polis kelmarin.
Insiden berlaku di Gujranwala, Punjab, pada 1 Januari lalu. Mangsa dikejarkan ke hospital namun mati pada Selasa akibat cedera parah.
“Kedua-dua gadis itu memutuskan untuk mencari ‘penyelesaian kekal’ terhadap situasi mereka,” kata Rizwan Tariq, pegawai kanan polis di bandar tersebut, kepada AFP.
Menurut keterangan polis, suspek mengambil petrol dari sebuah motosikal dan membakar bapa mereka ketika dia sedang tidur.
Kedua-dua gadis tersebut, yang merupakan anak tiri, mendakwa bahawa bapa mereka telah merogol anak sulung selama setahun dan merogol anak bongsu dua kali.
Ibu-ibu mereka, yang kedua-duanya berkahwin dengan lelaki tersebut, mengetahui mengenai jenayah tersebut tetapi tidak mengetahui rancangan anaknya yang ingin balas dendam itu.
Untuk melindungi privasi remaja berkenaan, AFP tidak mendedahkan identiti mangsa, salah seorangnya adalah anak daripada perkahwinan sebelumnya.
Salah seorang daripada isteri lelaki itu turut ditahan manakala seorang lagi sedang disoal siasat.
“Kami menjangka untuk membawa mereka ke mahkamah dalam beberapa hari selepas siasatan selesai,” tambah Tariq. – AFP