MANILA, 1 DIS – Seekor anak Helang Filipina yang menetas melalui persenyawaan buatan telah mati, menurut Yayasan Helang Filipina, sekali gus memberikan satu lagi tamparan hebat dalam usaha menyelamatkan spesies helang terbesar dan paling kritikal terancam di dunia.
Kehilangan habitat dan pemburuan haram menyebabkan pengurangan bilangan Helang Filipina yang juga merupakan haiwan kebangsaan negara itu.
Penetasan anak burung yang digelar Chick Number 30 pada bulan lalu memberi sinar harapan kepada sains dan pemuliharaan untuk menyelamatkan spesies raptor berkenaan, namun, harapan itu musnah apabila anak helang berusia 17 hari itu mati pada Jumaat lalu, menurut yayasan tersebut.
“Kehilangan yang memilukan ini adalah peringatan betapa rapuhnya proses membesarkan anak helang dan betapa mudah spesies ini terancam,” kata Yayasan Helang Filipina dalam satu kenyataan di laman webnya.
Anak helang jantan itu merupakan penetasan pertama yang berjaya di kemudahan baharu yayasan tersebut. Kematian dipercayai disebabkan komplikasi daripada ‘pengekalan kantung kuning telur,’ satu keadaan yang lazim berlaku di ladang ayam.
Keadaan itu menunjukkan kemungkinan jangkitan bakteria melalui pengeraman kulit telur atau pendedahan kepada bakteria selepas menetas.
Helang Filipina terkenal dengan bulu kepalanya dan memiliki sayap dengan lebar dua meter. Sifat semula jadi haiwan berkenaan sukar diramal kerana ia sukar untuk mengawan, malah boleh membunuh burung spesies sama yang tidak diingini.
Yayasan pemuliharaan menganggarkan terdapat 392 pasang helang yang tinggal di habitat liar, dengan hanya 30 yang dilahirkan dalam kurungan.
Matlamat utama organisasi itu adalah untuk melepaskan spesies berkenaan kembali ke habitat liar namun ia tidak pernah berjaya dilakukan selama 37 tahun beroperasi. – AFP