HOUSTON, 13 JAN – Angka korban akibat kebakaran hutan yang dahsyat di California, Amerika Syarikat (AS), meningkat kepada 24 orang kelmarin, lapor agensi Anadolu (AA).
Pejabat Koroner Daerah Los Angeles memaklumkan mereka sedang menyiasat kira-kira 24 kematian melibatkan dua kebakaran besar yang melanda kawasan selatan California sejak Selasa lepas.
Menurut pihak berkuasa, 16 kematian dikaitkan dengan kebakaran Eaton dan lapan lagi dalam kebakaran Palisades.
Jumlah itu dijangka terus meningkat kerana pemeriksa perubatan belum dapat mengesahkan cebisan mayat manusia sehingga proses analisis selesai dijalankan.
Lebih 150,000 penduduk dipindahkan, sementara 87,000 lagi berada dalam zon amaran pemindahan. Setakat ini, lebih 12,000 kediaman dan premis perniagaan musnah dalam kebakaran yang memusnahkan kawasan seluas lebih 60 batu persegi.
“Penilaian awal dari udara menganggarkan 5,316 struktur rosak akibat kebakaran Palisades dan lebih 7,000 struktur musnah akibat kebakaran Eaton,” menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL FIRE) dalam satu kenyataan.
“Angka awal ini menjadikan kebakaran Eaton dan Palisades sebagai kebakaran kedua dan keempat paling dahsyat dalam sejarah California,” tambahnya.
Anggota bomba terus berusaha memadamkan kebakaran yang terus marak akibat angin kencang sehingga 30 hingga 70 batu sejam. Disebabkan keadaan berbahaya itu, amaran kebakaran kekal berkuat kuasa hingga Rabu, manakala perintah pemindahan dilanjutkan sekurang-kurangnya hingga Khamis. Perintah berkurung dari senja hingga subuh juga masih berkuat kuasa bagi membanteras aktiviti pecah rumah di kawasan terjejas.
“Kita belum keluar daripada situasi bahaya. Keadaan cuaca yang berisiko masih menanti kita,” menurut Nancy Ward, Pengarah Pejabat Perkhidmatan Kecemasan California, dalam satu sidang media. – Bernama