Tuesday, January 7, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Angka korban virus Marburg meningkat kepada 12

    MALABO, EQUATORIAL GUINEA, 24 APRIL – Angka kematian akibat penularan virus Marburg di Equatorial Guinea meningkat kepada 12 orang, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini.

    Jumlah tersebut adalah angka sementara berdasarkan ujian yang disahkan oleh makmal setakat 21 April dan 116 orang sedang dipantau kerana kontak berisiko.

    Kes kematian pertama yang direkodkan adalah pada 7 Januari lalu di wilayah timur Kie-Ntem sebelum virus tersebut menular ke Bata, ibu kota ekonomi negara itu.

    Kematian terbaharu yang direkodkan adalah pada 11 April, menurut pihak kementerian.

    Virus Marburg boleh menyebabkan demam teruk, kebiasaannya disusuli dengan pendarahan dan kegagalan organ.

    Ia merupakan sebahagian daripada kelompok filovirus yang merangkumi Ebola, yang mengakibatkan beberapa wabak maut di Afrika barat dan tengah.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu menggesa Equatorial Guinea untuk melaporkan kesemua kes virus berkenaan. WHO bimbang epidemik berskala besar mungkin tercetus, menjejaskan negara jiran Gabon dan Cameroon.

    Sumber semula jadi virus Marburg disyaki daripada kelawar buah Afrika, yang membawa patogen tetapi tidak mengakibatkan sakit daripadanya.

    Kadar kematian yang disahkan sekitar 24 hingga 88 peratus semasa penularan sebelum ini, tergantung kepada strain virus dan pengendalian kes, menurut WHO. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda