WASHINGTON, 12 MAC – Rutin giliran kru di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kini diberi tumpuan ketika ia membuka laluan kepada dua angkasawan yang terperangkap selama lebih sembilan bulan untuk pulang ke Bumi.
Misi Crew-10 NASA-SpaceX dijadualkan untuk dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada jam 7:48 malam hari ini. Roket Falcon 9 SpaceX membawa kapsul Crew Dragon dengan kumpulan empat anggota untuk ekspedisi saintifik ke makmal orbit tersebut.
Namun, tumpuan utama adalah pada angkasawan Butch Wilmore dan Suni Williams yang telah terperangkap di ISS sejak Jun selepas kapal angkasa Boeing Starliner mereka mengalami masalah pendorongan dan dianggap tidak selamat untuk penerbangan pulang.
Kedua-duanya, yang pada asalnya dijadualkan untuk misi selama lapan hari, telah ditugaskan semula ke Crew-9 selepas angkasawan misi tersebut tiba pada September dengan menggunakan SpaceX Dragon. Kapsul itu hanya membawa dua kru, berbanding empat seperti biasa, untuk memberi ruang kepada Wilmore dan Williams. Crew-9 akan kekal di orbit sehingga Crew-10 tiba.
“Kami datang dengan persediaan untuk tinggal lama, walaupun asalnya kami merancang untuk tinggal pada masa yang lebih singkat,” kata Wilmore dalam sidang media baru-baru ini. “Itulah yang dimaksudkan dengan program penerbangan manusia negara awda, merancang untuk menghadapi kejadian yang tidak dijangka.”
Crew-10 dijangka akan berlabuh esok pagi, diikuti dengan serahan tugas singkat sebelum Crew-9 berlepas pada 16 Mac untuk mendarat di luar pantai Florida, bergantung pada cuaca. Bersama Wilmore dan Williams, angkasawan NASA, Nick Hague dan kosmonot Rusia, Aleksandr Gorbunov juga akan berada di kapsul Dragon yang pulang. – AFP
