LONDON, 16 JAN – Arsenal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dan menghidupkan semula cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris kelmarin, manakala Alexander Isak memimpin Newcastle mara ke tangga empat teratas liga.
Dalam perlawanan berasingan, kepulangan semula David Moyes ke Everton dilanda kedukaan, apabila pasukannya tewas 1-0 kepada Aston Villa di Goodison Park.
Kemenangan Arsenal di Emirates melonjakkan mereka empat mata di belakang Liverpool, yang terikat 1-1 dengan Nottingham Forest Selasa lalu, sekali gus menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan.
Son Heung-min mendahului pada minit ke-25 tetapi pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan 15 minit kemudian apabila tandukan Gabriel melantun ke arah Dominic Solanke untuk gol sendiri.
Kejayaan tersebut disempurnakan sebelum separuh masa apabila Leandro Trossard membuat rembatan ke gawang penjaga gol baharu Spurs, Antonin Kinsky.
Arsenal telah mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah pendahuluan mereka dan berasa lega apabila percubaan Pedro Porro terkena tiang gol pada masa kecederaan.
Skuad Mikel Arteta kini memiliki 43 mata selepas 21 perlawanan, empat mata di belakang Liverpool, yang mempunyai satu perlawanan di tangan. – AFP