LONDON, 1 DIS – Arsenal melonjak ke tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas West Ham, memberikan suntikan baharu kepada cabaran kejuaraan mereka.
Pasukan kendalian Mikel Arteta berpesta gol pada separuh masa pertama di Stadium London, menjaringkan lima gol untuk mengurangkan jurang kepada enam mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang akan berdepan juara bertahan, Manchester City yang sedang bergelut hari ini.
Gabriel Magalhaes membuka tirai jaringan dengan gol awal sebelum Leandro Trossard menggandakan kelebihan untuk Arsenal serta gol penalti Martin Odegaard diikuti oleh gol kesembilan Kai Havertz musim ini.
Aaron Wan-Bissaka dan Emerson pantas menjaringkan gol untuk West Ham, tetapi penalti Bukayo Saka melengkapkan persembahan cemerlang dari penyerang Arsenal itu.
Harapan Arsenal untuk merebut gelaran sebelum ini terjejas teruk oleh empat perlawanan liga tanpa kemenangan sebelum menewaskan Nottingham Forest minggu lalu.
Mikel Arteta mengakui minggu ini bahawa Arsenal perlu bermain hampir sempurna untuk mengejar Liverpool.
Dan, selepas membelasah Sporting Lisbon 5-1 dalam Liga Juara-Juara pada Selasa, ini merupakan bukti lanjut bahawa walaupun pasukan bimbingan Mikel Arteta mungkin belum sempurna, mereka jelas berada di landasan yang betul.
Kemenangan liga pertama Arsenal di tempat lawan sejak September menjadi peringatan tepat pada masanya bahawa pasukan yang hampir mencabar City dalam perebutan gelaran musim lalu tidak boleh dipandang rendah dengan lebih separuh musim masih berbaki.
Mengejar gelaran liga pertama sejak 2004, Arsenal kembali bertenaga dengan kembalinya kapten Martin Odegaard, yang sebelum ini diketepikan selama 12 perlawanan dalam semua kejohanan akibat kecederaan buku lali. – AFP