Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Awie pentaskan konsert solo terakhir

    Pernah beraksi solo selepas meninggalkan seketika kumpulan Wings pada 1993, fasa yang sarat kenangan manis itu mahu diabadikan Datuk Awie melalui konsert berskala besar, lapor BH Online.

    Selepas berkali-kali mementaskan konsert bersama Wings, Awie berkata, persembahan istimewa yang dinamakan Journey itu bakal menjadi konsert terakhirnya, lantas menjadi konsert penutup perjalanan kerjaya solo yang mencecah tiga dekad.

    “Ada sesuatu yang ingin saya tonjolkan dalam konsert itu. Selepas berbincang dan mendapat restu anggota Wings, Journey akan jadi konsert solo saya yang terakhir.

    “Bersama Wings, kami letak tempoh sembilan tahun lagi sebelum berehat. Kerjaya solo pula kalau konsert di Malaysia dan Singapura terlaksana, ia menjadi yang terakhir kerana saya mahu berehat,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment yang diasaskannya di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya, baru-baru ini.

    Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, berkata, konsert solo itu akan menjadi alternatif kepada peminat sementara menantikan Wings tampil dengan persembahan langsung seterusnya.

    “Saya dan Wings pernah berbual dan bercakap mengenai penganjuran konsert solo saya ini. Melalui konsert yang selama ini kita buat dan kita fikirkan, kita sayangkan konsep dahulu.

    “Apabila konsep sudah ada, baru kita boleh bercakap mengenainya. Sekarang, untuk konsert solo ini nanti, saya sudah dapat gambaran cerita.

    “Wings akan mencecah usia empat dekad tahun depan. Angka itu cukup besar buat Wings dan kita kena tangguh dahulu sebarang projek hingga tiba saat itu.

    “Justeru, saya ambil kesempatan itu untuk tampil dengan konsert solo,” katanya. – Agensi

    Awie menjelaskan konsert solonya akan menjadi alternatif kepada peminat sementara menantikan Wings tampil dengan persembahan langsung seterusnya. – mStar
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...