Thursday, May 2, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Meja resin ‘simpan memori bersama’

    Oleh Amri HTZ –

    Meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga ke pantai setentunya mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Selain barbeku, pada kebiasaannya anak-anak lebih suka bermain air dan pasir mahupun mengutip kulit kerang yang terdampar.

    Bagi memastikan kenangan tersebut dapat dipahat dalam ingatan, manfaatkan kulit kerang yang dikumpulkan untuk mereka sebuah meja kerja daripada resin epoksi yang terkandung di dalamnya kulit kerang tersebut.

    Sediakan barangan diperlukan

    Mesin gergaji rantai
    Mesin ketam kayu
    Kertas pasir
    Resin epoksi
    Bekas plastik
    Papan lapis
    Orbital buffer
    Kulit kerang

    POTONG DAN BELAH KAYU DIPILIH

    Kayu yang digunakan dalam projek ini merupakan kayu rebah terbiar berdiameter lebih kurang 16 inci. Kayu dipilih perlulah dalam keadaan sudah kering dan keras untuk memastikan rekaan bertahan lama.

    Potong dengan memanjang lebih kurang 40 inci dan belah dua untuk mendapatkan papan berketebalan 3 inci. Kemudian, ratakan permukaan kayu menggunakan mesin ketam. (Gambar 2)

    Meja pada projek ini dibuat daripada dua keping papan (slab) dengan bahagian tengahnya daripada resin epoksi. Oleh itu sebelum membolehkan resin dituangkan pada bahagian tengah meja, awda perlu menutupi bahagian belakang dan sisinya sebagai acuan.

    Gambar 1. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 2. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 3. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 4. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 5. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 6. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 7. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 8. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 9. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir
    Gambar 10. – Gambar oleh Jeremyhoffpauir

    Gunakan papan lapis untuk acuan dan cantumkan menggunakan skru dan gam silikon.

    Selain itu, permukaan dalaman acuan akan disapukan dengan furniture wax bagi memudahkan ia ditanggalkan nanti. (Gambar 3)

    CAMPUR RESIN EPOKSI

    Resin epoksi tersedia yang terbuat daripada dua bahagian akan dicampurkan dalam sebuah bekas dengan nisbah 1:1.

    Pada langkah ini, Neutral Aqua GLow Powder akan dicampurkan ke dalam campuran tersebut untuk menjadikannya bercahaya ketika lampu ditutup. (Gambar 4)

    Setelah mengaduk campuran sehingga sebati, tuangkan epoksi ke dalam acuan.

    Memandangkan ia adalah lapisan epoksi yang pertama, tuangkan sehingga ia mempunyai ketinggian 1½ inci daripada bahagian bawah acuan.

    Selain itu, periksa permukaan sisi dan bawah acuan untuk memastikan tidak terdapat kebocoran. (Gambar 5)

    SUSUN KERANG YANG TELAH DIBERSIHKAN

    Sebelum menempatkan kulit kerang, bersihkan terlebih dahulu daripada sebarang kekotoran. Kemudian susun satu persatu atas lapisan pertama epoksi ketika ia separuh mengeras. Susun setiap satu dengan menyelang-nyelikan bentuk dan warna kulit kerang agar nampak seimbang. (Gambar 6)

    Bagi permukaan kayu yang tidak rata atau berlubang secara alami, awda juga boleh mengisikan bahagian tersebut dengan kulit kerang yang lebih kecil sesuai dengan ukuran lubang kayu.

    Tuangkan epoksi yang telah dicampurkan dengan Neutral Aqua GLow Powder atau hanya epoksi tanpa campuran untuk langkah ini. (Gambar 7)

    Selesai menyusun setiap satu kulit kerang, kini campurkan lagi resin epoksi dengan kali ini tanpa sebarang campuran (serbuk efek khas). Setelah dirasakan sebati, tuang perlahan ke dalam acuan sehingga memenuhi ruangan tersebut.

    Jika buih terhasil pada permukaan atas epoksi, buangkannya dengan cara membakarnya menggunakan blow torch atau heat gun. (Gambar 8)

    GOSOK KESELURUHAN PERMUKAAN

    Setelah epoksi mengering sepenuhnya (biarkan selama 48 jam), gosok permukaannya menggunakan kertas pasir berukuran 40, 60, 80, 120, 150, 180, 220 dan 320 grit mengikut urutan daripada kasar sehingga lebih halus.

    Ini akan menjadikan permukaan epoksi yang pada awalnya benar-benar kabur menjadi lebih jernih. (Gambar 9)

    Untuk menjadikan resin epoksi nampak lebih jernih, wood finish jenis Rubio Monocoat Oil Plus 2c mampu memberikan hasil akhir yang terbaik. Sapukan pada permukaan rekaan dan biarkan ia menyerap ke dalam kayu lebih kurang 15 minit kemudian bersihkan lebihannya menggunakan kain bersih.

    Dengan langkah terakhir tersebut, meja bertemakan suasana pantai kini boleh ditempatkan pada ruangan kerja yang setentunya akan memberikan suasana yang lebih nyaman serta memuaskan.

    Tip rekaan

    Bagi menghasilkan permukaan resin epoksi yang terbaik (jernih) pastikan setiap langkah merubah kekasaran kertas pasir dilakukan secara berperingkat dan mengikut tertib dari kasar kepada sedikit halus, bukannya kasar kepada sangat halus.

    Kaki meja yang cukup mudah direka digunakan pada projek ini iaitu menggunakan angle steel dengan ketinggian 28 inci dan lebar 16 inci.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...