Wednesday, May 15, 2024
24 C
Brunei

    -

    Baguette dapat status warisan dunia PBB

    PARIS – Baguette, sejenis roti ranggup Perancis yang terkenal di seluruh dunia, ditambah ke dalam senarai warisan budaya tidak ketara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai tradisi yang dihargai untuk dipelihara oleh manusia.

    Pakar UNESCO yang berhimpun di Maghribi memutuskan roti Perancis yang ringkas, hanya diperbuat daripada tepung, air, garam dan yis itu layak mendapat pengiktirafan PBB, selepas kementerian kebudayaan Perancis memberi amaran tentang ‘pengurangan berterusan’ dalam bilangan kedai roti tradisional, dengan kira-kira 400 ditutup setiap tahun sepanjang setengah abad yang lalu.

    Ketua agensi kebudayaan PBB, Audrey Azoulay, berkata keputusan itu menghormati lebih daripada sekadar roti, ia mengiktiraf ‘savoir-faire tukang roti artisanal’ dan ‘ritual harian’.
    “Adalah penting bahawa pengetahuan kraf dan amalan sosial boleh terus wujud pada masa hadapan,” tambah Azoulay, bekas menteri kebudayaan Perancis.

    Agensi itu mentakrifkan warisan budaya tidak ketara sebagai tradisi atau ungkapan hidup yang diwarisi daripada nenek moyang kita dan diwarisi kepada keturunan kita.

    Dengan status baharu roti itu, kerajaan Perancis berkata ia merancang untuk mencipta hari baguette artisanal, yang dipanggil Open Bakehouse Day, untuk menghubungkan orang Perancis dengan warisan mereka dengan lebih baik.

    David Buelens mengeluarkan baguette daripada ketuhar. – AP
    Pemilik kedai roti, Florence Poirier (kiri) menghidu baguette segar yang keluar dari ketuhar di sebuah kedai roti, di Versailles, barat Paris. – AP
    Florence Poirier meletakkan baguette ke dalam beg yang bertulis, ‘rasa roti yang sebenar’ untuk pelanggan. – ap
    Mylene Poirier meletakkan baguette dalam beg untuk pelanggan di kedai roti, di Versailles. – AP

    Di Perancis, pembuat roti kelihatan berasa bangga.

    “Sudah tentu, ia harus ada dalam senarai kerana baguette melambangkan dunia. Ia bersifat sejagat,” kata Asma Farhat, pembuat roti di Julien’s Bakery berhampiran jalan Champs-Elysees di Paris.

    “Jika tiada baguette, awda tidak boleh makan dengan betul. Pada waktu pagi awda boleh membakarnya, untuk makan tengah hari ia adalah sandwic, kemudian ia mengiri-ngi makan malam.”

    Walaupun ia kelihatan seperti produk Perancis yang asli, baguette dikatakan telah dicipta oleh pembuat roti kelahiran Vienna, August Zang pada tahun 1839. Zang menggunakan ketuhar wap Perancis, menghasilkan roti dengan kerak yang rapuh dan namun dalam masa yang sama, lembut bahagian dalamnya.

    Kegemilangan produk itu hanyalah selepas tahun 1920an, dengan kemunculan undang-undang Perancis yang menghalang pembuat roti daripada bekerja sebelum jam 4 pagi.

    Bentuk baguette yang panjang dan nipis bermakna ia boleh dibuat dengan lebih cepat berbanding jenis lain yang keras, jadi roti itu adalah satu-satunya roti yang boleh dibuat dengan cepat untuk sarapan pagi.

    Walaupun jumlah kedai roti tradisional berkurangan hari ini, 67 juta penduduk Perancis masih kekal sebagai pengguna baguette yang dibeli di pelbagai tempat jualan, termasuk di pasar raya. Menurut pemerhati, masalah jualan secara berleluasa adalah kualitinya yang teruk.

    “Sangat mudah untuk mendapatkan baguette tidak berkualiti di Perancis. Baguette tradisional dari kedai roti tradisionallah yang kini terancam.

    “Ini soal kualiti bukan kuantiti,” kata seorang penduduk Paris, Marine Fourchier, 52.

    Pada Januari, rangkaian pasar raya Perancis Leclerc telah dikritik oleh pembuat roti dan petani tradisional kerana baguette AS$0.29 sen yang banyak dipromosikan, dituduh mengabaikan kualiti roti 65 sentimeter yang terkenal itu.

    Baguette biasanya berharga lebih 90 sen euro (lebih AS$1), dilihat oleh sesetengah pihak sebagai indeks kesihatan ekonomi Perancis.

    Baguette sememangnya perniagaan yang serius.

    Bread Observatory Perancis, sebuah institusi yang dihormati yang memantau perjalanan roti itu menyatakan bahawa orang Perancis memakan 320 baguette dalam satu bentuk atau yang lain setiap saat. Itu purata separuh baguette setiap orang setiap hari, dan 10 bilion setiap tahun.

    ‘Pengetahuan artisan dan budaya roti baguette’ telah ditulis pada mesyuarat di Maghribi antara warisan budaya global yang lain, termasuk tarian ritual Furyu-odori Jepun, dan pakar rum Cuba. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hospital di India terima ancaman bom

    NEW DELHI, 14 MEI – Beberapa buah hospital di Ibu Kota India, Delhi hari ini menerima panggilan ancaman bom, memaksa pihak pentadbiran untuk menghubungi...