Ketika isu penceraian menjadi bualan ramai, pelakon Indonesia, Baim Wong menerima kecaman selepas dia mendedahkan kecurangan isterinya iaitu model Paula Verhoeven.
Memetik laporan mStar, sedar akan kesilapan yang dilakukan, Baim, 43, mengambil tanggungjawab penuh atas apa yang diperkatakan sebelum ini.
Katanya ketika itu dia terbuka bercakap soal rumah tangga kerana mahu membuktikan bahawa dirinya berada di pihak benar sehingga nekad memfailkan cerai.
“Salahkan sahaja diri saya yang mungkin gagal sebagai suami.
“Sekarang ini saya lebih ke arah untuk tenangkan diri. Terlalu banyak kejadian yang berlaku sehingga merasakan saya di pihak benar namun menjadi perbahasan,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Baim memfailkan cerai terhadap Paula dan sehari kemudian dalam satu sidang media dia menjelaskan punca sebenar yang membawa kepada tindakan tersebut.
Menurut Baim, dia sudah hampir setahun cuba mempertahankan rumah tangga dan menyebut kehadiran orang ketiga menjadi punca berlaku masalah dengan isterinya.
Tambah pelakon itu, dia juga tidak akan mahu berpisah dengan isterinya tanpa sebarang alasan kukuh.
“Sekarang ini saya fokus kepada proses mahkamah sahaja. Saya tetap harus kuat.
“Tidak mungkin saya memfailkan cerai tanpa sebab yang serius,” ujarnya.
Untuk rekod Baim dan Paula mendirikan rumah tangga pada November 2018.
Mereka memiliki dua orang cahaya mata iaitu Kiano, 3, dan Kenzo yang kini berusia 2 tahun. – Agensi