Wednesday, January 8, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banjir di Thailand ragut sembilan nyawa, ribuan orang kehilangan tempat tinggal

    BANGKOK, 1 DIS – Banjir akibat hujan lebat di selatan Thailand telah meragut sembilan nyawa dan menyebabkan lebih 13,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kelmarin. Pasukan penyelamat menggunakan bot dan jet ski untuk membantu penduduk yang terperangkap.

    Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk meredah air banjir yang keruh setinggi dada, dengan kereta-kereta tenggelam di jalan-jalan yang dinaiki air.

    “Banjir di lapan wilayah di selatan Thailand telah menjejaskan 553,921 isi rumah dan meragut sembilan nyawa, memaksa agensi-agensi untuk menggerakkan bantuan kecemasan,” menurut kenyataan agensi bencana negara itu di laman Facebook rasminya.

    Lebih 13,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, dengan tempat perlindungan sementara disediakan di sekolah dan kuil, tambah kenyataan tersebut.

    Nampa, seorang penduduk di wilayah pesisir Songkhla, menyatakan kebimbangan mengenai bekalan makanan yang semakin berkurangan.

    “Kami masih baik-baik sahaja sekarang, tetapi saya tidak pasti berapa lama kami boleh bertahan dalam keadaan ini,” katanya kepada penyiar kerajaan Thai PBS.

    Dua hospital di wilayah berdekatan Pattani terpaksa menghentikan operasi untuk mengelakkan kerosakan pada kemudahan perubatan akibat banjir.

    Di utara Malaysia yang bersempadan dengan kawasan itu, hujan lebat telah memaksa kira-kira 80,000 orang berpindah ke tempat perlindungan sementara minggu ini. Pegawai bencana di Malaysia turut melaporkan kira-kira empat kematian akibat keadaan tersebut.

    Jabatan Meteorologi Thailand memberikan amaran bahawa hujan sangat lebat mungkin terus melanda beberapa kawasan di selatan negara itu sehingga minggu hadapan. – AFP

    Mangsa banjir melihat barang-barang yang terapung di dalam air banjir di dalam rumahnya di wilayah selatan Thailand, Narathiwat pada 28 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda